Partime Job

Friday 20 April 2012

Kebun umpama ‘hutan dara’


BANDAR SERI JEMPOL - Rata-rata peneroka Raja Alias Satu (RA1) menggesa pihak pengurusan Felda mengambil tindakan segera berhubung masalah proses tanam semula kelapa sawit di kebun mereka.

Malah mereka mendakwa terpaksa menanam sendiri anak pokok sawit berkenaan walaupun dipertanggungjawabkan kepada pihak berkaitan.

Hal itu juga sudah berlarutan hampir dua tahun dan menyebabkan hutang sara hidup peneroka bertambah susulan kelewatan proses berkenaan.

Sinar Harian difahamkan, terdapat kebun yang masih belum ditanam dengan anak pokok sawit yang kini sudah dipenuhi semak.

Peneroka, Daimun Ibrahim, 52 berkata, dia kecewa kerana kini kebunnya boleh diibaratkan ‘hutan dara’ yang bakal menjadi ‘hutan rimba’.

Menurutnya, mereka tidak mintak lebih, hanya mahu pihak berwajib selesaikan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Bagi peneroka yang menanam secara sendiri mereka sudah selesai berbuat demikian dan akan mendapat hasilnya tidak lama lagi.

“Tetapi kebun kami masih dipenuhi semak samun dan terbiar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Kamarudin Salleh, 55 berkata, bagi mengelakkan kebunnya di penuhi semak, dia mengambil inisiatif dengan menanam anak pokok sawit secara sendiri dengan bantuan rakan-rakan.

“Saya dan rakan-rakan lain akan menanam anak pokok kelapa sawit ini secara tolong-menolong. Bila selesai di kebun saya, saya akan tolong dia pula.

“Malah saya juga akan pantau, meracun dan membersihkan kebun sendiri,” katanya.

Kamarudin berkata, dahulu dia serahkan urusan tanam semula itu kepada pihak berkenaan untuk kemudahannya.

“Jika saya buat tanam semula secara sendiri, bila sakit nanti tidak ada siapa hendak uruskan kebun. Namun bila sudah diserahkan, begini pula jadinya,” katanya.

Manakala, Ketua Peneroka Negeri Sembilan, Othman Parman berkata, ada menerima laporan berhubung masalah berkenaan sekitar Felda Wilayah Raja Alias (WRA).

Katanya, beliau sudah memaklumkan hal terbabit kepada pihak pengurusan Felda WRA.

sumber : sinarharian

No comments: