Partime Job

Thursday 12 April 2012

Ferdaus sambut hari jadi di hospital


PETALING JAYA – Tidak pernah terfikir akan menyambut ulang tahun kelahirannya di katil hospital, tetapi itulah hakikat dihadapi Wan Arif Ferdaus Wan Ahmad Affendy,8.


Menghidap penyakit kanser tulang, Wan Arif memerlukan RM80,000 untuk pembedahan.

“Abang seronok sambut hari lahir dengan keluarga, tapi tahun ni di sini. Harap-harap tahun hadapan abang dapat sambut di rumah dengan kawan-kawan pula,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ibunya, Zetty Ramli, yang ada di sampingnya berkata, buat masa ini, anaknya masih menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Sejak abang (Wan Arif) dimasukkan ke sini tiga hari lalu, keadaannya semakin beransur sihat. Menurut doktor, apabila sudah tidak demam, dia akan menjalani kimoterapi keempat.

“Proses kimoterapi itu akan berlanjutan hingga ketujuh kali. Harapan kami, abang akan segera sembuh walaupun tahu kimoterapi itu begitu menyakitkan, lebih-lebih lagi kepada dia yang masih kecil.

“Sayu juga melihat abang, tetapi anak sulung saya seorang yang sangat tabah dan kerana itu, saya dan suami tidak mahu berputus asa,” katanya.

Wan Arif dijangka menerima rawatan selama lima hari, namun ia boleh dipanjangkan jika keadaannya belum stabil.

Sejak kisah Wan Arif disiarkan oleh Sinar Harian, ia mendapat perhatian ramai dan kini dana terkumpul sudah berjumlah RM38,000.

“Alhamdulillah, jumlah semakin bertambah. Walaupun doktor memberi tempoh dua bulan untuk menjalankan pembedahan, tetapi jika dana dapat saya kumpul lebih awal, ia boleh dilakukan segera.

“Saya sudah tidak sanggup melihat anak saya ditebuk sana- sini untuk memasukkan ubat. Saya mahu tengok dia seperti kanak-kanak normal yang lain. Semoga ALLAH permudahkan segala urusan kami ini,” katanya.

Wan Arif memerlukan RM80,000 bagi kos pembedahan dan pemindahan tulang titanium.

Sebanyak RM40,000 daripada kos itu adalah untuk pemindahan serta RM38,000 untuk implan kaki kiri yang mengalami kanser.

sumber : sinarharian

No comments: