Partime Job

Wednesday 4 April 2012

Derita 16 tahun akibat strok


PADANG RENGAS - Setelah 16 tahun menderita akibat penyakit strok, bekas Konstabel Khas (SC) Othman Abdul Rani, 83 terharu menerima kunjungan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohammad di rumahnya, di Kampung Buaia, di sini.

Isterinya, Nasiah Ismail, 78 berkata, Othman mengalami lumpuh sebelah badan sejak mula diserang penyakit itu dan keadaannya bertambah serius sejak enam tahun lalu, menyebabkan dia tidak lagi mampu bergerak.

Menurut Nasiah, sejak itu, Othman hanya terlantar di atas katilnya dan memerlukan penjagaan penuh daripada keluarga.

“Untuk memudahkan kami menjaganya, kami pastikan dia memakai lampin pakai buang sepanjang masa, tidak kira siang atau malam.

“Daya ingatannya tidak sekuat dahulu, namun dia tetap dapat mengingati secara jelas pengalamannya ketika berjuang menentang komunis dahulu,” katanya ketika ditemui, di sini.

Dalam kunjungan ke rumah warga emas itu, Abdul Gaffar turut menyerahkan wan sagu hati berjumlah RM3,000 bagi menceriakan sedikit kehidupan keluarga bekas pejuang itu.

Menurut Nasiah, wang saguhati itu dapat menampung keperluan Othman selain bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, dan dapat meringankan beban mereka sekeluarga.

Sementara itu, Othman menyatakan rasa terharu kerana wang sagu hati itu membolehkannya merasakan jasa yang pernah ditaburkan berpuluh tahun lalu masih dihargai.

Othman berkata, dia mula berkhidmat dalam pasukan SC pada 1948 sehingga menamatkan perkhidmatan pada 1953 tanpa pencen, dan wang sagu hati yang diterima sangat bermakna terutama dalam keuzurannya sekarang ini.

Katanya, detik detik perjuangan ketika mempertahankan negara daripada komunis masih segar dalam ingatannya dan dia boleh menceritakan semuanya secara terperinci.

“Saya masih ingat nombor pekerja saya semasa berkhidmat dalam SC, namun ingatan saya berkenaan perkara lain sudah pudar.

“Sepanjang berkhidmat, saya telah ditugaskan di banyak kawasan termasuk Padang Rengas dan detik paling sukar dilupakan adalah ketika melihat rakan lain gugur dalam perjuangan,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: