Partime Job

Wednesday 4 April 2012

Waris pemilik kubur lama diminta tampil


MUAR – Waris kepada pemilik sebuah kubur lama berhampiran Dataran Tanjung Emas diminta tampil ke Pejabat Agama Islam Muar untuk membantu kerja pemindahan kubur berkenaan.

Penyelia Tanah Perkuburan, Zulman Sapran berkata, kubur tersebut tidak mempunyai sebarang maklumat dan dipercayai sudah berusia hampir 100 tahun terletak di bawah sebuah pokok besar yang dikenali sebagai pokok hujan-hujan atau nama saintifiknya, Samanea Saman.

Menurutnya, kewujudan kubur lama itu disedari oleh sekumpulan kakitangan Majlis Perbandaran Muar (MPM) ketika membersihkan semak di kawasan berhampiran sekitar tahun 2009.

“Ia dikenal pasti selepas menemui satu batu nisan dan kubur ini dipercayai milik orang lelaki.

“Sejak itu, pihak MPM pelihara kawasan ini termasuk memasang pagar supaya orang ramai sedar kewujudan kubur ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kami tidak pasti kemungkinan ada kubur lain di sini kerana tidak ada sebarang petunjuk seperti batu nisan dan sebagainya.

Zulman berkata, cadangan kubur itu dipindahkan ke tempat lain telah dibuat setelah mendapati kedudukannya tidak sesuai lebih-lebih lagi selepas kawasan tersebut dibangunkan sebagai tempat awam.

“Kawasan ini sering menjadi tumpuan jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan aktiviti pada hujung minggu.

“Untuk kebaikan dan kemudahan semua pihak, sewajarnya kubur ini dialihkan ke kawasan yang sepatutnya,” katanya.

Tambahnya, beliau sudah berbincang dengan pihak pengurusan MPM mengenai cadangan itu dan akan memindahkan kubur berkenaan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri.

Jelasnya, cuma halangannya ialah untuk mengenal pasti waris kepada pemilik kubur terbabit supaya kerja pemindahan dapat dilakukan dengan lancar dan mudah.

Selain itu, Pejabat Agama Islam daerah Muar turut menemui sembilan kubur lama yang dipercayai berusia lebih 100 di kawasan kediaman rasmi ketua penolong pegawai daerah Muar di Jalan Majidi, di sini dan sehingga kini masih tidak dapat mengenal pasti warisnya.

sumber : sinarharian

No comments: