Partime Job

Monday 2 April 2012

China terima semula sarang burung Malaysia

NANNING (China) - China bersetuju membenarkan semula sarang burung dari Malaysia dieksport ke negara itu dengan syarat kandungan nitrat dalam produk itu tidak melebihi paras 30 bahagian per juta (ppm).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata surat persetujuan kerajaan China untuk menerima semula sarang burung Malaysia telah pun diperolehi tetapi tarikh sebenar dan syarat lain perlu diperhalusi.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanning sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur setelah mengakhiri lawatan kerja sehari ke sini dan bertemu dengan rakan sejawatannya Wen Jiabao.

Pihak berkuasa China sebelum ini melarang kemasukkan sarang burung dari Malaysia apabila tidak meluluskan kadar kandungan nitrat dalam produk itu.

Najib berkata kerajaan akan memaklumkan kepada pengusaha sarang burung di Malaysia berhubung syarat baru yang ditetapkan oleh kerajaan China.

Beliau berkata kerajaan China juga bersetuju memberi lesen operasi bagi membolehkan syarikat AirAsia mengadakan penerbangan ke bandar Nanning.

Selain itu, Najib berkata Perdana Menteri China ingin melihat supaya hubungan antara pemimpin belia kedua-dua negara ditingkatkan.

Justeru itu, katanya, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan mengetuai rombongan 100 pemimpin belia ke Beijing pada bulan ini.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor berada di sini untuk lawatan kerja sehari untuk bersama-sama Jiabao melakukan upacara pelancaran usaha sama China-Malaysia bagi Taman Perindustrian Qinzhou (QIP), yang terletak kira-kira 150km dari sini.

Taman QIP terletak pada lokasi strategik berhampiran pelabuhan dan zon bebas cukai di Teluk Beibu, iaitu pelabuhan China yang paling hampir ke destinasi negara-negara ASEAN.

Projek itu menjadi lambang persahabatan erat yang berterusan antara China dan Malaysia sejak wujudnya hubungan diplomatik pada tahun 1974. - Bernama

No comments: