Partime Job

Monday 2 April 2012

Berteduh di rumah terbiar


PETALING JAYA – Siapa sangka di satu laluan sibuk di Jalan PJS 2C dekat sini tinggal sebuah keluarga yang menghuni rumah kedai terbiar sejak 13 tahun lalu.

Kedengaran agak mustahil tetapi itulah hakikatnya sewaktu Sinar Harian mengunjungi ‘kediaman’ keluarga itu, kelmarin.

Murni Darwis, 63, ibu kepada sembilan anak ini berkata, dia terpaksa tinggal di dalam kawasan rumah kedai itu selepas tidak mampu membayar sewa rumah flat yang didiaminya.

Menurutnya, ia bermula selepas rumah yang didiaminya sejak sekian lama di Kampung Ghandi (setinggan) dirobohkan pihak berkuasa.

“Suami ketika itu bekerja sebagai pengawal keselamatan, dengan gaji RM800 sebulan hendak menanggung anak yang ramai ketika itu memang tidak cukup.

“Kemudian dia diberhentikan kerja dan disebabkan itu juga kami pernah jadikan kolong saluran air di tepi jalan sebagai rumah sementara sebelum pemaju rumah kedai di sini membenarkan kami tinggal,” katanya.

Kisah malang keluarga tidak terhenti di situ apabila pada 2009, anak lelaki kelimanya meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Murni berkata, disebabkan kemiskinan juga hampir ke semua anaknya tidak dapat bersekolah malah lebih malang dua anak lelakinya kini ditahan di pusat pemulihan dadah.

“Gaji suami RM500 sebulan sebagai kelindan lori sampah dan untuk tambah pendapatan keluarga, saya dan anak turut membantu mencari barang terbuang seperti kotak, tin atau apa sahaja yang boleh dijual dan dari situ, kami memperoleh pendapatan RM15 sehari,” katanya.

Difahamkan, keluarga itu sebelum ini dikatakan tidak layak untuk menerima bantuan bulanan selepas permohonan dibuat kepada Lembaga Zakat Selangor 13 tahun lalu, namun pada Februari lalu mereka mula menerima bantuan bulanan RM250 selepas permohonan diluluskan.

“Sekarang kami perlu mencari rumah yang boleh disewa dan Lembaga Zakat Selangor bersedia untuk membiayai sewa bulanan rumah dan kami bersyukur kerana ada yang masih sudi untuk membantu kami,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: