Partime Job

Wednesday 18 April 2012

Bayi berusia sebulan hadapi masalah usus, jantung sejak seminggu dilahirkan


ALOR SETAR - Sayu jelas terpancar di wajah seorang ibu muda apabila bayinya yang berusia sebulan terpaksa ditahan di wad sejak dilahirkan 29 Februari lalu akibat masalah usus dan jantung.

Rashidah Mohamad Saad, 24, berkata, anak sulungnya, Irfan Qadri bin Shahrul Azhar dilahirkan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani namun terpaksa dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kira-kira seminggu selepas dilahirkan.

Irfan Qadri kini dirawat di Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU) dan memerlukan RM50,000 bagi membiayai kos rawatan jantung.

Menurutnya, dia dan suami, Shahrul Azhar Abdul Rahim, 27, tidak mampu untuk membiayai kos itu kerana mereka hanya bekerja di kilang.

“Sejak dilahirkan anak saya hanya mempunyai satu injap manakala saluran ususnya sempit dan dia turut mengalami masalah jantung berlubang.

“Buat masa sekarang dia masih belum dibenarkan minum namun saya bersyukur kerana berat badannya makin bertambah,” katanya ketika ditemui di HSB.

Lebih menyedihkan Rashidah belum pernah mendukung bayinya seperti ibu lain dan hanya mampu menyentuh serta melihat wajahnya yang dipasang wayar pada badan.

Rashidah dan suami yang tinggal di Sungai Petani terpaksa berulang-alik ke Alor Setar selang sehari untuk melawat anak mereka.

Dia berkata, pada bulan lalu anaknya telah menjalani dua kali pembedahan usus dan pihak hospital memaklumkan rawatan jantung akan dilakukan setelah keadaan usus stabil.

Katanya, dia dan suami buntu untuk mencari kos membiayai rawatan anak mereka walaupun pelbagai usaha telah mereka lakukan.

“Saya teringin nak dukung Irfan, namun saya tidak mampu untuk melakukannya kerana keadaan kesihatan dia yang tidak mengizinkan.

“Saya amat berharap agar ada pihak yang dapat membantu untuk membiayai kos rawatan anak saya agar keadaannya sihat seperti bayi yang lain,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Irfan Qadri boleh menghubungi di talian 012-5298816.

sumber : sinarharian

No comments: