Partime Job

Monday 2 April 2012

Bas berhenti dirempuh lori


IPOH – Seorang pemandu bas persiaran nyaris maut apabila bahagian belakang basnya dirempuh sebuah lori 18 tan selepas dia memeriksa bahagian enjin ketika berhenti di lorong kecemasan di kilometer (KM) 274, Lebuh Raya Utara Selatan, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, rempuhan kuat itu menyebabkan 20 penumpang bas dari Singapura panik apabila sebahagian dari mereka sedang nyenyak tidur ketika dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk menghadiri upacara keagamaan.

Pemandu bas, Mohd Khabir Ali, 27, berkata, dia bersyukur kerana ketika kejadian dia baru sahaja beredar dari memeriksa enjin bas untuk menghubungi pihak Unit Peronda PLUS.

“Kami bertolak dari Singapura jam 9 malam dan ketika di Ipoh, suhu enjin semakin meningkat menyebabkan saya berhenti untuk membuat pemeriksaan.

“Tidak sampai 10 minit, saya dengar bunyi dentuman kuat dan penumpang menjerit. Melihat mangsa tersepit, saya segera menghubungi polis dan ambulan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kelindan lori, Jamri Abu Bakar, 35, yang berasal dari Johor Bharu, Johor meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, lori yang dipandu rakannya itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bas berkenaan.

“Lori 18 tan itu dipercayai dipandu laju dalam perjalanan dari Klang menuju ke Sungai Petani hilang kawalan dan merempuh bas tersebut.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan lori itu emuk dan mangsa tersepit,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat manakala pemandu lori dan semua penumpang bas tidak mengalami kecederaan.

sumber : sinarharian

No comments: