Partime Job

Friday 9 March 2012

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu sistem pengurusan banjir di Lembah Klang diteliti semula dalam usaha memastikan ia berfungsi dengan berkesan, sekali gus mengelak kehilangan nyawa dan harta benda.

Timbalan Perdana Menteri meminta Kerajaan PKR Selangor bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dan agensi berkaitan di Kuala Lumpur bagi mewujudkan penyelarasan terhadap sistem berkenaan.

“Kita kena lihat balik walaupun sudah ada langkah dibuat di sekitar Kuala Lumpur, termasuk pembinaan terowong SMART kerana apa yang berlaku semalam (kelmarin) bukan saja membabitkan bandar raya ini tetapi juga di kawasan pinggiran termasuk, Selangor.
“Penting bagi Kerajaan PKR Selangor mengambil kira situasi ini, kalau boleh mereka bincangkan dengan Kerajaan Pusat dan pihak bertanggungjawab di Wilayah Persekutuan supaya ada penyelarasan.

“Dalam situasi cuaca tidak menentu dan jumlah hujan yang tidak terduga dengan air terlalu banyak mungkin kapasiti saluran air tidak dapat menampungnya. Ini perlu dikaji semula,” katanya selepas perasmian MyKomuter di Stesen Sentul di sini, semalam.

Timbalan Perdana Menteri diminta mengulas kejadian banjir kilat akibat hujan lebat di sekitar Lembah Klang, malam kelmarin, sehingga menyebabkan lebih 230 rumah di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang, musnah ditenggelami banjir.
Dalam kejadian itu, 1,350 mangsa banjir di daerah Hulu Langat turut terpaksa dipindahkan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai penganugerahan projek Kinrara-Damansara Expressway bernilai RM2.2 bilion kepada seorang peguam UMNO, Timbalan Perdana Menteri berkata, ia dibuat berdasarkan merit.

“Ia berdasarkan penilaian sewajarnya dan kertas kerja yang dikemukakan syarikat itu kepada kerajaan dan agensi berkaitan seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan ia memenuhi penilaian itu.

“Tiada bezanya dengan syarikat konsesi lain yang dianugerahkan projek oleh kerajaan.

“Saya fikir ia berdasarkan merit. Saya tidak fikir kita perlu menafikan peluang mana-mana pihak jika mereka boleh menyumbang kepada penambahbaikan sistem pengangkutan,” katanya.

sumber : bharian

No comments: