Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Warga Jengka cari Fatihah


BANDAR TUN ABDUL RAZAK – Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) akan menggerakkan keseluruhan ahlinya dalam usaha mengesan Siti Nur Fatiha Mahadi, 15, yang didapati hilang diculik oleh tiga individu di Taman Tas, Kuantan, kelmarin.

Naib Presiden 1 MBFM, Ahmad Saari Abdul Samad berkata, MBF akan turut sama membantu mencari Fatiha memandangkan mangsa juga terdiri dari golongan belia.

“Saya memohon agar ahli MBFM di seluruh negara turut sama membantu mencari maklumat berkaitan mangsa terbabit. Selain itu, saya juga berharap agar seluruh kepimpinan di setiap cawangan tanah rancangan di seluruh negara agar mengambil berat tingkah laku remaja di kawasan mereka supaya kejadian sebegini tidak akan berulang lagi,” katanya.

Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Jengka, Mohd Nasharuddin Mat Nasir pula berkata, MBFM juga akan menggunakan medium seperti laman sesawang untuk mencari dan mengesan mangsa.

“Selain itu, saya juga menggesa seluruh rakyat Malaysia khususnya untuk sama-sama mendoakan agar adik Fatiha selamat dan dapat kembali ke pangkuan keluarganya. Saya juga turut mengharapkan kerjasama dari bandan bukan kerajaan (NGO) yang ada di Wilayah Jengka ini agar turut sama menyertai gerakan prihatin ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan agar generasi belia di luar sana supaya sentiasa berhati-hati tidak kira di mana mereka berada.

Selain MBFM, turut sama dalam gerakan mencari dan mengesan mangsa ialah sebuah kelab di bawah pimpinannya, Jengka Motorsports Club (JMC).

JMC akan melakukan gerakan menampal poster di kereta, selain turut sama-sama melakukan hebahan dan mengagihkan poster di seluruh kawasan umum bagi mencari dan mengesan mangsa.

Skuad Elit Felda tampal poster

BANDAR TUN ABDUL RAZAK – Sinar Harian dengan kerjasama Skuad Elit Felda Wilayah Jengka telah menggerakkan gerakan mengesan dan mencari maklumat berkaitan kehilangan remaja perempuan, Siti Nur Fatiha Mahadi, semalam.

Komandannya, Abdul Rahman Basri berkata, pihaknya akan mengerakkan kesemua ahli skuad untuk melakukan usaha terbabit dengan menampal dan mengedarkan poster di seluruh Wilayah Jengka.

“Kesemua ahli seramai 50 orang ini membawa poster ke seluruh kawasan awam mahupun ke tanah rancangan masing-masing untuk gerakan mengesan dan mendapatkan maklumat terbabit. Selain itu, kami juga akan bergerak ke daerah-daerah lain seperti ke Jerantut, Temerloh dan seluruh Daerah Maran untuk mengedarkan poster terbabit.

Tidak berhenti setakat itu, Abdul Rahman juga akan memohon jemaah di seluruh surau dan masjid sekitar wilayah Jengka untuk melakukan solat hajat untuk mempermudah penemuan mangsa.

“Saya dan seluruh ahli juga akan menggunakan segala jalinan hubungan yang kami ada di seluruh negara untuk sama-sama membantu mengesan dan mencari maklumat berkaitan mangsa. Saya juga akan mengatur strategi untuk membahagikan ahli skuad mengikut zon dan sebagainya untuk mempercepatkan gerakan,” katanya.

Tambahnya, dengan usaha yang dilakukan ini sekurang-kurangnya sedikit sebanyak dapat membantu mangsa selain memberi amaran kepada penculik bahawa masyarakat di seluruh negara amat prihatin dan mengambil berat dengan masalah penculikan yang berlaku di negara ini.

Puteri Umno sertai gerakan

Di Jengka 17, Puteri Umno Bahagian Kuala Krau akan turut serta dalam gerakan bersama Sinar Harian mencari dan mengesan serta mendapatkan maklumat bagi membantu pihak polis mengesan Siti Nur Fatiha Mahadi, 15.

Ketuanya, Nohasmimi Abdul Ghani berkata, dalam mengadakan gerakan terbabit, beliau juga ingin memberikan nasihat kepada ibu bapa, remaja dan masyarakat berkaitan isu ini.

“Kepada ibu bapa, saya ingin menasihatkan agar sentiasa mengawasi anak mereka sama ada yang masih kecil mahupun yang telah dewasa. Pengawasan terbabit perlu kerana penjenayah kini sudah tidak mengenal mangsanya. Kepada remaja pula, saya menasihatkan agar mereka menjaga diri kerana mereka berhadapan dengan ancaman bahaya tidak kira masa,” katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada masyarakat agar bersikap lebih prihatin dan berwaspada terhadap masalah persekitaran mereka.

“Sekiranya masyarakat lebih bersikap mengambil berat, sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban polis dalam menangani sesuatu masalah utamanya masalah penculikan sebegini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jengka, Wan Salman Wan Ismail turut memberikan sokongan kepada Sinar Harian, Puteri Umno dan mana-mana gerakan yang bergerak untuk mengesan mangsa penculikan terbabit.

“Ia satu tindakan yang wajar diambil dan satu bentuk usaha yang perlu ada untuk membantu mengesan mangsa.

Tambahan pula, melalui gerakan ini juga boleh menjadi antara cara untuk kita mendapatkan sekali gus membentuk sokongan daripada orang ramai,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: