Thursday, 15 March 2012
Tragedi 13 Mac berulang
KUANTAN – Selepas 10 tahun berlalu, tanggal yang sama 13 Mac, rumah pekerja didiami Mohammad Firdaus Mokhtar, 26, sekali lagi terbakar.
Mohammad Firdaus yang bekerja di kilang papan Seng Peng di Jalan 19 1/4 Gambang di sini berkata, kejadian tersebut adalah yang kedua.
Menurutnya, seramai 15 pekerja kilang papan ini terselamat apabila kesemua mereka masih lagi bekerja di kilang sebelum berlari pulang ke rumah masing-masing setelah dimaklumkan rumah kongsi mereka terbakar.
Lapan deret rumah kongsi di sini hangus terbakar pada 4 petang kelmarin dan kesemua pekerja tidak sempat menyelamatkan barang mereka menjadikan mereka hanya tinggal sehelai sepinggang.
“Biasanya kami pulang pada 5.30 petang dan meninggalkan barang-barang penting di rumah sahaja ketika bekerja. Tidak sangka pula, habis semua barang kami hangus terbakar termasuklah dompet dan barang berharga yang lain.
“Kejadian kebakaran kali ini benar-benar membuatkan saya trauma kerana kali kedua saya mengalami kejadian seumpama ini. Ketika kebakaran masih lagi terbayang api sepuluh tahun lalu membakar rumah kongsi kami yang terletak di lokasi sama,” katanya.
Hasil titik peluh turut terbakar
Bagi Suhaimee Harun, 29 yang bekerja di kilang ini sejak lima tahun lalu sedih apabila barang-barang kesayangan dibelinya daripada hasil titik peluh bekerja turut terbakar sama.
“Orang lain mungkin tidak kisah barang mereka terbakar, tetapi saya sedih kerana saya kumpul duit dalam masa yang lama untuk membeli barang tersebut, kini hanya tinggal arang sahaja,” katanya yang sedih apabila jam tangan bernilai RM3,000 miliknya terbakar.
Bagi Shahrul Amri Amin, 24, yang baru bekerja di kilang ini tiga bulan lalu terkilan apabila gambar arwah tunangnya turut terbakar.
“Barang-barang lain seperti televisyen yang baru saya beli kelmarin turut terbakar, mesin basuh dan barang yang paling saya sayang ialah gambar arwah tunang yang saya bawa selalu terbakar. Itu sahajalah kenangan yang saya ada sejak dia meninggal empat tahun lalu,” katanya sedih.
Selain itu, Shahrul Amri juga tinggal sehelai sepinggang apabila duit dan pakaiannya tidak sempat diselamatkan.
Menurutnya, semasa kejadian, dia hanya memakai baju tanpa lengan dan sejurus selepas dimaklumkan rumah kongsi yang didudukinya terbakar lantas dia berlari tanpa menyelamatkan barangnya.
“Apa yang saya pakai hari ini adalah harta yang tinggal, semuanya seperti sudah tidak bermakna pada saya. Jika tidak kuat iman dan sabar, saya tak tahu apa yang akan terjadi pada saya,” katanya yang berasal dari Johor.
Bantuan terus disalurkan
Ketua Kampung Baru Gambang, Yong Fook Siong berkata, beliau akan berusaha mendapatkan bantuan bagi pekerja yang berstatus warganegara di sini untuk mendapatkan bantuan susulan.
“Bantuan segera daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sumbangan khas Adun Lepar bagi meringankan beban mangsa kebakaran ini.
“Selain itu, saya berharap agar bantuan susulan dapat diberikan kepada mangsa ini berikutan masing-masing hanya tinggal sehelai sepinggang,” katanya.
Sementara itu, bagi wakil majikan kilang papan Seng Peng, Low Chee Kang berkata, pihaknya akan membantu mangsa yang terlibat melalui dana khas yang diperuntukkan.
Selain itu, rumah kongsi ini juga dikatakan akan dibina semula untuk kemudahan pekerja di kilang ini.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lepar, Mohd Sohaimi Jusoh berkata, beliau harap agar mangsa yang terlibat ini bersabar dengan dugaan ini dan mahu mereka terus berfikiran positif untuk masa depan yang lebih cerah.
“Saya harap kesemua mangsa yang terlibat sama ada warganegara Malaysia dan yang lain-lain bersabar kerana ini adalah dugaan untuk mereka yang cekal.
“Mujur tiada kemalangan jiwa yang berlaku dan saya harap agar mereka dapat membina kehidupan baru dengan lebih baik lagi pada masa akan datang,” katanya.
sumber : sinarharian
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment