Partime Job

Tuesday 6 March 2012

Tiga hari dilanda banjir


SUNGAI PANJANG – Kilometer 35 Jalan Sungai Panjang-Tanjung Malim yang banjir sejak tiga hari lalu turut menjejaskan aktiviti harian penduduk bukan sahaja sekitar Sungai Panjang malah di seluruh daerah Sabak Bernam yang menggunakan jalan itu terutamanya untuk berulang alik ke tempat kerja.

Sehingga kini difahamkan paras air yang melimpahi jalan itu di tiga kawasan mencecah sehingga 0.4 meter menyebabkan kenderaan ringan seperti kereta dan motosikal tidak boleh melepasinya, namun masih boleh digunakan untuk kenderaan berat.
Tambak semula jalan

Difahamkan, kebanyakan pengguna jalan ini terpaksa menggunakan jalan alternatif lebih jauh yang mengambil masa lebih lama hingga menelan belanja minyak melebihi 50 peratus.

Pengguna masing-masing berpendapat, jalan ini perlu ditambak untuk mengelakkan masalah banjir ini terus memberikan masalah pada masa depan.

Pengguna, Abdullah Sapran, 54, berkata, jalan itu menjadi laluan utama bagi mereka yang bekerja sekitar kawasan Tanjung Malim tetapi tinggal di Sabak Bernam dan bekerja di Sabak Bernam tetapi tinggal di Tanjung Malim untuk berulang alik.

“Ada kakitangan awam dan swasta yang menggunakan jalan ini setiap hari untuk pergi bekerja dan adalah sesuatu yang menyukarkan apabila masalah jalan banjir ini kerap kali perlu dihadapi apabila musim hujan.

“Saya sendiri menggunakan jalan ini setiap hari untuk pergi bekerja dengan jarak masa 30 minit, namun jika masalah ini berlaku, saya terpaksa memusing jauh dengan mengambil masa lebih kurang dua jam dan tentunya ia meningkatkan kos minyak,” katanya.


Wujudkan sistem amaran

Pengguna, Abdul Mofti Ahmad Jantan, 42, tidak menyangka akan terlibat masalah kerosakan kereta seperti ini memandangkan berjaya meredah hampir 250 meter.

“Saya lihat ada papan tanda ‘Awas air melimpah di hadapan 100 meter’ dan saya tidak jangkakan air yang melimpah itu sedalam ini memandangkan tiada apa-apa lagi amaran supaya kenderaan ringan tidak boleh melalui jalan ini.

“Apabila kita lihat paras air agak dalam, ada terfikir hendak berpatah balik tetapi tidak boleh berbuat apa memandangkan kita tidak tahu di mana ada parit, kerana semuanya digenangi air,” katanya.

Menurutnya, hasratnya meneruskan perjalanan ke Bagan Nakhoda Omar selepas singgah di Tanjung Malim terbantut apabila enjin kereta Nazaria miliknya tiba-tiba bermasalah dan pacuan empat roda Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) yang kebetulan membuat rondaan membantu.

“Terdapat tiga kawasan agak dalam dan tidak memadai jika hanya meletakkan papan tanda memberitahu ada limpahan air, pihak yang bertanggungjawab juga perlu ada sistem amaran antaranya meletakkan papan tanda paras air semasa dan petugas di kedua-dua hala untuk memaklumkan pengguna.

“Jika ada petugas yang memaklumkan mengenai paras air semasa, saya pasti akan berpatah balik dan mencari jalan alternatif lain, biarpun agak jauh daripada mengalami masalah kereta rosak yang memerlukan kos yang lebih tinggi,” katanya.

Difahamkan, petugas daripada KPS menjalankan rondaan 24 jam sepanjang jalan yang terlibat dengan banjir, selain membuka khemah berhampiran jalan banjir di sebelah Sungai Panjang.


Rela upah elak kereta rosak

Pengguna, Zainudin Abdullah, 39, berkata, dia menggunakan khidmat pacuan empat roda milik seorang penduduk untuk membantunya melepasi limpahan air di laluan berkenaan selepas berurusan di Teluk Intan untuk melihat ternakan di Sungai Dusun.

“Sebelum ini, kereta Peugeot 405 pernah rosak kerana melalui jalan banjir dan hampir RM3,500 dikeluarkan untuk menanggung kerosakan dan kali ini saya tidak mahu kereta Peugeot 407 ini ditimpa nasib sama seperti kereta sebelum ini.

“Saya rela membayar upah RM30 untuk menarik kereta untuk melepasi banjir ini daripada menanggung kos kerosakan jika meredahnya sendiri. Kalau saya berpatah balik dan menggunakan jalan lain, kos minyak dan masa juga diperlukan,” katanya.


Tawar menawar, tiada caj tetap

Penduduk, Harun El Hafiz Taufik Salim, 31, berkata, dia mula menjalankan perkhidmatan menarik kenderaan selepas seorang rakan menghubunginya memaklumkan seorang pengguna menghadapi masalah kerosakan enjin ketika melalui jalan berkenaan.

“Menjadi kebiasaan harga ditentukan RM30 untuk kereta dan RM10 untuk motosikal yang kita bawa meredah banjir ini, namun tiada harga tetap saya letakkan, ada menawar harga dan kita tidak kisah mereka membayar ikut keikhlasan.

“Ada yang berikan kita RM30 dan kebanyakannya memberikan sekitar RM10 hingga RM15. Pada masa sama, ada juga memberikan RM2 dan ada juga yang tidak memberikan apa-apa. Kita cuma ikhlaskan bantuan yang kita berikan kerana kita tidak kisah, kerana kita pu

Sumber : Sinar harian

No comments: