Partime Job

Thursday 8 March 2012

Terjun lubang atas jalan

KUALA LIPIS: “Kalau treler yang mengekori kereta itu tidak sempat menekan brek, saya tak tahu apa berlaku kepada ketiga-tiga mangsa di dalam kereta itu,” kata seorang penduduk, Noor Anuar Ismail, 44.

Noor Anuar antara saksi awal kejadian sebuah Perodua Kancil dinaiki tiga buruh Indonesia terjunam ke dalam lubang besar di Kilometer 43, Jalan Benta-Jerantut berhampiran Kampung Terap, di sini, malam kelmarin.


Dia yang turut membantu mengeluarkan mangsa kemalangan itu berkata, persekitaran tempat kejadian gelap dan hujan lebat selama lebih dua jam menyebabkan aliran air banyak, sekali gus menjadi punca pembetung di bawah jalan itu pecah.

“Apabila pembetung itu pecah, berlaku mendapan yang teruk dan membentuk lubang besar, sekali gus membuatkan jalan itu putus. Ketiga-tiga mangsa itu memang bernasib baik,” katanya.


Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin, ketiga-tiga warga Indonesia yang bekerja sebagai buruh di ladang sawit berhampiran itu dalam perjalanan pulang ke kuarters pekerja di Kampung Baru Jerkoh selepas membeli-belah di Benta.


Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta mangsa tidak sempat mengelak lubang sedalam kira-kira dua meter yang terbentuk akibat mendapan sebelum terjunam hingga mengakibatkan penumpang depan parah manakala dua lagi cedera ringan.

Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah) Temerloh manakala dua rakannya menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Lipis dan sudah dibenarkan pulang.


Kejadian itu menyebabkan Jalan Benta-Jerantut ditutup kepada semua kenderaan dan dipercayai berpunca akibat hujan lebat, tetapi beberapa penduduk mendakwa kegagalan pihak berkuasa menyelenggara jalan berkenaan dengan baik menjadi punca utama.

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor yang melawat tempat kejadian, pagi semalam mengarahkan JKR Pahang membina sebuah jambatan sementara dan dijangka siap tiga hari lagi.


Beliau mengarahkan JKR Pahang dan kontraktor yang menjalankan kerja menaik taraf Jalan Benta-Jerantut membuat pemantauan dan memeriksa kawasan mempunyai pembetung air di laluan sepanjang jalan itu.

sumber : myMetro

No comments: