Partime Job

Monday 26 March 2012

Tempurung kepala dipasang


BUKIT MERTAJAM - Remaja terlibat kemalangan pada 22 Oktober 2011 hingga tempurung kepala sebelah kanannya terpaksa dibuang, kini menemui sinar hidup baru.

Tempurung kepala Mohd Fitri Samsudin, 20, yang terjejas itu kini sudah dipasang melalui satu pembedahan pada 2 Mac lalu.

Ibunya, Aliza Abu Bakar, 43, berkata, pembedahan tersebut dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan sejak itu anak sulungnya itu mula menunjukkan perkembangan positif.

Menurutnya, Mohd Fitri kini sudah boleh duduk dengan bantuan ahli keluarga, berbanding sebelum ini hanya terlantar di katil.

“Alhamdulillah, dia (Mohd Fitri) nampak makin sihat, boleh bercakap biarpun pertuturannya kadangkala tidak begitu jelas. Begitu juga dengan ingatannya, ada sesetengah perkara dia ingat, begitu juga sebaliknya.

“Makcik amat bersyukur perkembangan itu. Bulan Mei ini dia akan jalani rawatan susulan di HPP,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Kijang, dekat sini.

Ditanya harapan anak sulung daripada empat beradik itu untuk pulih seperti sediakala, Aliza berkata, setakat ini doktor tidak memberikan sebarang jaminan anaknya itu pulih.

Namun begitu, katanya, jauh di sudut hati mahu melihat anaknya itu kembali ceria seperti sebelumnya, atau sekurang-kurangnya boleh menguruskan diri sendiri.

“Sekarang makcik masih ada boleh jaga dia. Tapi, suatu hari nanti jika makcik sudah tidak ada, siapa hendak tengokkan dia?” katanya.

Sementara itu, bapa Mohd Fitri, Samsudin Ariffin, 57, berkata, keadaan fizikal anaknya yang lumpuh sebahagian badan sebelah kiri itu memaksa dia untuk memakai lampin pakai buang setiap hari.

Menurutnya, kos menampung keperluan harian anaknya itu, termasuk susu mencecah RM400 setiap bulan, menyebabkan ada kalanya mereka sekeluarga terpaksa ikat perut.

Ia berikutan pendapatannya sebagai pemandu lori hanya sekitar RM800 sebulan, dan perlu menyara tiga anak lain masih bersekolah.

Difahamkan, bebannya sedikit ringan selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meluluskan bantuan kepada Mohd Fitri RM300 sebulan mula diterima awal Mac lalu.

Dalam pada itu, kepayahan yang ditanggung keluarga berkenaan mendapat perhatian Pemuda Umno Bahagian Bukit Mertajam.

Kunjungan diketuai Ketua Pemuda, Mohamad Fauzi Sharif itu menyumbangkan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan Mohd Fitri, selain wang tunai.

“Kami prihatin nasib menimpa remaja ini. Justeru, pihak kami menggesa Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) supaya dapat mempercepatkan proses pembayaran faedah kepadanya agar dapat meringankan bebanan keluarganya,” katanya.

Terdahulu, Mohd Fitri hilang upaya selepas motosikal ditunggangi bersama adiknya, Mohd Nizam, 16, terbabas selepas merempuh belakang kereta jenis Toyota Estima yang tiba-tiba memotong mereka.

Kejadian berlaku berhampiran Pusat Latihan Memandu Melati, kira-kira jam 8 pagi ketika kedua-duanya dalam perjalanan ke tempat kerja di Bukit Minyak.

Susulan rempuhan, Mohd Nizam tercampak ke dalam kereta selepas cermin belakang kenderaan itu pecah, sementara Mohd Fitri terpelanting ke tepi jalan.

Mohd Nizam yang patah kaki kanan dan dagu terpaksa dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) selama lebih sebulan, sementara, tempurung kepala sebelah kanan abangnya terpaksa dibuang bagi mengeluarkan darah beku.

sumber : sinarharian

No comments: