Partime Job

Friday 30 March 2012

Tak sangka mimpi anak jadi nyata

SUNGAI PETANI: “Saya tidak sangka mimpi anak perempuan tiga hari lalu melihat ayahnya meninggal dunia benar-benar menjadi kenyataan,” kata Che Jam Hashim, 52, isteri kepada Mohd Jalil Abd Hamid, 53, yang mati dihempap pokok kekabu di tebangnya, kelmarin.

Che Jam dari Kampung Permatang Tiga, Penaga berkata, dia terkejut apabila anak tunggalnya, Mastura, 32, memberitahu, bermimpi bapanya meninggal dunia tetapi menganggap ia mainan tidur.


“Malah, saya juga memberitahu mungkin rezeki akan datang tetapi tidak menyangka sama sekali mimpi Mastura sebagai petanda suami akan pergi meninggalkan kami dan agak terkilan kerana tidak sempat memberitahu arwah.

“Sebelum kejadian, saya ada menelefon suami jam 10 pagi semalam (kelmarin) untuk bertanya di mana dia berada selepas menerima SMS daripadanya.


“Suami memberitahu dia berniaga roti canai di hadapan rumah mentuanya di Kampung Ekor Kucing, Kepala Batas dan sempat memberitahu, paha kanan dia terluka terkena gergaji ketika memotong pokok dua hari lalu,” katanya.


Arwah meminta isterinya itu tidak bimbang kerana luka berkenaan hanya sedikit.

“Itu perbualan terakhir dengan suami sebelum saya menerima panggilan telefon daripada saudara kira-kira jam 6.20 petang memaklumkan dia meninggal dunia dihempap pokok kekabu.


“Saya pernah menasihatinya agar berhenti mengambil upah menebang pokok kerana kerja itu bahaya. Saya bimbang keselamatannya, namun arwah hanya mendiamkan diri,” katanya di Jabatan Forensik (HSAH), di sini, malam kelmarin.

Jenazah Mohd Jalil dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ekor Kucing, Kepala Batas, semalam.


Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa mengalami kecederaan dalaman yang teruk akibat dihempap pokok kekabu yang ditebang bersama tiga rakannya, petang kelmarin.


Berdasarkan laporan bedah siasat, kematian mangsa disebabkan tulang rusuknya yang patah menikam jantungnya.

sumber : mymetro

No comments: