Partime Job

Thursday, 15 March 2012

Tabung Haji sasar 50 peratus umat Islam jadi pendeposit

KANGAR - Tabung Haji berazam untuk mendaftar lebih dua juta pendeposit baru tahun ini bagi mencapai sasarannya supaya 50 peratus umat Islam di negara ini menabung dengannya.

Ketua Pegawai Teknologi Tabung Haji, Mohd Yassin Tahir berkata, pada masa ini jumlah pendepositnya hampir mencecah tujuh juta dan diharap angka itu akan meningkat kepada sekurang-kurangnya sembilan juta sebelum akhir tahun ini.

Penduduk beragama Islam berjumlah sekitar 18 juta di negara ini.

Mohd Yassin menyatakan demikian kepada para pemberita selepas menyerahkan zakat perniagaan Tabung Haji berjumlah RM501,371.88 kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang mewakili Majis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Istana Arau di sini hari ini.

Mohd Yassin berkata, Tabung Haji kini menjalankan kempen meningkatkan jumlah pendeposit termasuk melalui kelab TAHA yang bermatlamat menyubur minat menabung di kalangan para pelajar.

Dalam pada itu pendeposit Tabung Haji di negeri Perlis setakat ini berjumlah lebih 93,000 atau lebih separuh daripada kira-kira 131,000 penduduk beragama Islam.

Mengenai pengeluaran zakat perniagaan di seluruh negara, Mohd Yassin berkata, lebih RM38.6 juta dikeluarkan hasil keuntungan Tabung Haji bagi 2011 dan angka itu meningkat dari lebih RM36 juta pada 2010.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Juga hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Abdul Malik Hussin; dan Pengerusi Baitulmal Perlis, Datuk Abu Bakar Ahmad. - Bernama

No comments: