Partime Job

Thursday, 15 March 2012

Skuad Jejak Asnaf berkesan


SIMPATI...(dari kanan) Jamil, Syed Ali dan Dr Muhammad Yamin melihat keadaan Ibrahim yang terlantar sakit.
KUALA LUMPUR: Penderitaan seorang warga emas yang mengalami pendarahan otak selepas terbabit dalam kemalangan September lalu mendapat perhatian Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang membantu membiayai kos rawatan dan keperluannya.

Ibrahim Mohd Taib, 84, yang kini terlantar di rumahnya memerlukan kira-kira RM1,500 sebulan untuk membeli ubat-ubatan, barang keperluan harian termasuk lampin pakai buang, susu dan kos rawatan yang sebelum ini ditanggung anak-anaknya serta bantuan jiran dan Umno Bahagian Cheras.


Anak kelapan Ibrahim, Badrul Hisham, 30, berkata, keluarganya bersyukur kerana penderitaan ayahnya mendapat perhatian Baitulmal memandangkan adik-beradiknya tidak mampu membiayai kos ubat-ubatan, rawatan dan keperluan harian ayahnya yang tinggi.

“Adik-beradik saya kebanyakannya sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungan sendiri manakala dua adik yang tinggal bersama ayah hilang tempat bergantung selepas ayah terbabit kemalangan dan ibu pula meninggal dunia lapan tahun lalu.


“Malah, dua adik kami itu, Siti Hajar, 14, masih bersekolah manakala Salman, 24, mengalami masalah pada tulang pinggul hingga tidak mampu bekerja,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Kampung Tangki Bukit Air, Cheras di sini, semalam.


Ibrahim antara 10 isi rumah kampung itu dijejaki Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP yang ditubuhkan sejak 16 Februari lalu bagi membantu golongan asnaf yang masih belum mendapat sebarang bantuan Baitulmal.

Majlis Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang turun padang menemui tiga daripada 10 penerima di kampung berkenaan.


Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr Muhammad Yamin Ismail; dan Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, usaha MAIWP memperkenalkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP sejak sebulan lalu berhasil menjejaki 287 golongan asnaf, fakir miskin dan orang kelainan upaya (OKU) yang memerlukan bantuan. “Langkah proaktif Baitulmal MAIWP dengan mengambil pendekatan turun padang itu bagi memastikan nasib golongan berkenaan sentiasa terbela dan mendapat perhatian. “Kami dapati ramai di kalangan mereka yang berkelayakan tidak membuat permohonan kerana beberapa kekangan termasuk tidak memahami maklumat berkaitan bantuan dengan jelas dan ada antaranya tidak tahu di mana hendak dapatkan bantuan.


“Justeru, kami mengambil langkah turun padang dan menjejaki sendiri golongan ini bagi membolehkan pelbagai bantuan berbentuk barangan serta wang tunai disalurkan,” katanya.

sumber : mymetro

No comments: