Partime Job

Tuesday 6 March 2012

Sawah padi jadi sungai


SUNGAI MANIK - Seramai 10 petani di kawasan Parit 10D, Kampung Sungai Kerawai, di sini terpaksa menanggung kerugian apabila lebih 12 hektar sawah padi milik mereka ditenggelami air sejak petang kelmarin.

Kejadian itu berlaku disebabkan ban Sungai Batang Padang Mati pecah dan mengakibatkan air sungai tersebut melimpah ke dalam sawah.

Petani, Mohamad Abdullah, 47, berkata, kejadian itu menyebabkan padi baru berusia lingkungan 40 hari ditenggelami air.

Menurutnya, padi berkenaan ditakuti akan mati kerana terlalu banyak air berada di dalam sawah.

“Sejak dua tahun kebelakangan ini, kejadian air sungai melimpah masuk ke dalam sawah padi kerap berlaku menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Rumah turut ditenggelami air

Selain sawah, rumah seorang penduduk di kawasan berhampiran turut menerima nasib yang sama apabila kediamannya dimasuki air sungai berkenaan sejak petang kelmarin.

Penduduk, Asmah Ahcal, 68, berkata, petang kelmarin air naik mendadak dan memasuki rumahnya menyebabkan dia serta suami tidak sempat memunggah barang ke tempat lebih tinggi.

Menurutnya, sebelum ini, walaupun rumahnya sering dilanda banjir, dia dan suami sempat memunggah barangan ke tempat lebih tinggi.

“Air naik terlalu cepat sehingga makcik tidak sempat menyelamatkan barangan seperti perabot dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Kerawai, Saidin Jamri, 63, berkata, kira-kira 12 hektar sawah padi milik 10 pesawah di kawasan ini ditenggelami air.

Menurutnya, padi yang baru berusia 40 hari dan boleh dituai dalam tempoh tiga bulan lagi mudah rosak jika masalah itu tidak dapat diselesaikan segera.

“Perkara itu akan merugikan pesawah dan kejadian ini merupakan kali ketiga dalam tempoh dua tahun,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Saidin berkata, jumlah kerugian dianggarkan RM30,000 dan berharap pihak berkenaan dapat membina ban melibatkan 1.2 kilometer bagi mengelakkan perkara yang sama berulang lagi.


Dakwa ada penduduk tarah ban


Masalah yang diharap pesawah di kampung itu mendapat perhatian

Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang turut melawat ke kawasan berkenaan.

Zainol berkata, sebelum ini JPS pernah membina ban bagi mengekang kejadian air sungai masuk ke petak sawah milik penduduk.

Namun, beliau dimaklumkan oleh penduduk kampung, ada segelintir penduduk tempatan menarah ban untuk dijadikan jalan atau lalu bagi memudahkan mereka ke kebun masing-masing.

“Jika perkara ini benar, masalah itu bukan salah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) 100 peratus kerana agensi tersebut telah mengambil langkah untuk membina ban bagi mencegah banjir.

“Tetapi sikap penduduk kampung yang pentingkan diri itu dibidas kerana akibat tindakan mereka, 10 pesawah terpaksa tanggung risiko kerugian,” katanya.

Bagaimanapun, kata Zainol, beliau meminta JPS untuk ambil tindakan bagi membuat ban yang lebih tinggi agar kejadian yang sama tidak berulang.

Katanya, jika JPS mengatakan tiada bajet untuk menjalankan kerja membina ban, mereka perlu sediakan kertas kerja dan beliau akan bawa ke peringkat Kerajaan Negeri untuk diberikan perhatian.

“Saya juga meminta Jabatan Pertanian untuk membuat siasatan terhadap petani yang terlibat agar mereka mendapat bantuan sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, Zainol Fadzi turut menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Parit 10d, Kampung Sungai Kerawai, di sini, semalam.

Sumber : Sinar harian

No comments: