KANGAR – Perlawanan bola sepak dengan para pemainnya berkain pelikat adalah antara beberapa acara Program Merakyatkan Seni dan Budaya (PMS) Komuniti 1Malaysia di kawasan Bintong di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Abi, Sabtu ini.
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis, Mohd Rizal Ismail berkata, selain perlawanan bola sepak yang pastinya memaparkan aksi menarik dan melucukan, beberapa acara lain yang akan diadakan adalah demonstrasi bermain ular berbisa, persembahan hadrah dan alu bunyi.
PMS anjuran JKKN Perlis dengan kerjasama kerajaan negeri, yang bertemakan ”sentuhan pemimpin” akan bermula esok dengan kegiatan gotong royong membersihkan tanah perkuburan Islam kampung Kubang Badak dan surau kampung itu selain persembahan ghazal parti pada sebelah malamnya.
Bercakap kepada Bernama hari ini, beliau berkata, sempena penganjuran PMS ini Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, dijadual melawat tiga buah rumah penduduk miskin berhampiran untuk menyampaikan bantuan serta melancarkan program “Alamat Untuk Semua” yang dijayakan Pos Malaysia Berhad.
Selain itu, pertandingan sukan dan permainan tradisional seperti sepak raga bulat, congkak, batu tujuh, dam serta pertandingan akhir ”Nostalgia Lagu Datuk Ahmad Jais” akan diadakan. – BERNAMA

No comments:
Post a Comment