Partime Job

Thursday, 15 March 2012

Keahlian Maru boleh digugur


KUALA KUBU BHARU – “Maru tidak layak menjadi ahli jawatankuasa (AJK) PKR cabang.” Demikian tegas Ketua PKR Cabang Hulu Selangor, Mohamed Nazar Yakin mengulas tindakan AJK cabang itu, Maru Krishnan yang mengumumkan dirinya untuk bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Mohamed Nazar berkata, tindakan Maru bukan saja membelakangkan parti malah jelas melanggar perlembagaan dan tatatertib parti.

Menurutnya, sebagai AJK cabang yang menghormati dan menyayangi parti, Maru sepatutnya berbincang dan tidak membuat tindakan terburu-buru atau mengkritik parti secara terbuka kerana mampu menjejaskan imej parti.

“Pihak-pihak berkepentingan ini semata-mata mahu mempromosikan diri mereka.

“Jadi, saya ingatkan sesiapa mahu menjadi calon ikuti saluran yang betul bukan tindakan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siding media selepas Perasmian Penubuhan Sekretariat Pakatan Rakyat (PR) di Pejabat Task Force PR di sini semalam.

Mohamed Nazar berkata, Maru bakal berdepan dengan tindakan tatatertib bagaimanapun kedudukannya sebagai ahli parti hanya boleh ditentukan di peringkat Pusat.

Sementara itu, ketika diminta mengulas dakwaan Maru mengenai wujudnya puak-puak tertentu dalam PKR cabang, Mohamed Nazar menjelaskan perkara itu benar berlaku.

Menurutnya, isu pergolakan dalam parti dan perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin juga diakui berlaku malah mendakwa semua badan politik berdepan dengan isu sama.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jentera PRU PKR Parlimen Hulu Selangor, Mustapa Kamal Sapingi berkata, tindakan Maru jelas mencemarkan imej parti dan hukuman paling sesuai baginya adalah digugurkan daripada jawatankuasa PKR cabang.

Menurutnya, Maru tidak layak memegang sebarang jawatan dalam parti kerana rekod buruknya selama ini menunjukkan individu itu sering bertindak bersendirian tanpa merujuk pihak atasan.

“Individu seperti ini tidak layak memegang jawatan dalam PKR.

“Tindak-tanduknya juga sering membelakangkan parti malah segala tindakannya tidak pernah dipersetujui,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: