ALOR SETAR: Kegelisahan seorang wanita apabila mengadu sakit perut yang teruk akhirnya membongkar rahsianya melahirkan bayi perempuan di rumah keluarganya di Felda Lubok Merbau, Kuala Nerang, dekat sini, Isnin lalu.
Difahamkan, polis hanya menerima laporan berhubung kejadian itu kelmarin apabila keluarga mangsa membuat laporan polis selepas wanita berusia 22 tahun itu menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Sumber berkata, wanita itu yang tidak bekerja mengadu sakit perut kepada ahli keluarga, petang Khamis lalu, sebelum dibawa abangnya menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lubok Merbau kemudian dirujuk ke HSB.
Menurutnya, pemeriksaan doktor membongkar maklumat bahawa wanita itu bersalin tiga hari lalu dan dia memberitahu cerita sebenar.
“Wanita itu membawa anggota polis ke rumah dan menemui bungkusan mayat bayi itu disembunyikan di dalam baldi di dalam bilik air rumah keluarganya.
“Bungkusan mengandungi mayat bayi perempuan itu dilindungi dengan kain di bahagian atas menyebabkan ia mungkin tidak disedari keluarga wanita itu,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, wanita berkenaan kini menerima rawatan di HSB dan polis akan mengambil keterangan sebaik mangsa pulih.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Ku Yaacob Ku Hamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, setakat ini siasatan dilakukan dan bedah siasat akan dilakukan hari ini.
sumber : mymetro

No comments:
Post a Comment