Thursday, 15 March 2012
Risiko kemalangan tinggi
TERATAI - Kira-kira 30 lurang servis sekitar Teratai, Ampang mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya setelah tidak diselenggara sempurna.
Ahli Majlis Zon 23 Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Mohamad Samat berkata, keadaan ini sangat bahaya terutamanya penunggang motosikal di waktu malam kerana lurang tersebut didapati mendap berikutan penurapan jalan tidak sempurna kontraktor.
Menurutnya, dari 30 lurang tersebut, 20 daripadanya boleh mengakibatkan maut sekiranya pihak yang bertanggungjawab tidak membuat kerja membaik pulih.
“Ada lurang yang telah mendap setinggi sekotak rokok dan sekiranya penunggang motosikal tidak sedar dengan keadaan jalan itu, kemalangan boleh berlaku.
“Lebih membahayakan lagi apabila di waktu malam atau jalan ditakungi air,” katanya kepada Sinar Harian sewaktu meninjau lurang-lurang yang mendap di sekitar Teratai.
Mohamad berkata, penduduk juga mengadu terdapat kontraktor-kontraktor yang mengorek jalan tidak menurap jalan mengikut spesifikasi yang sebenar.
Katanya, permukaan jalan sepatutnya diturap kembali sama rata dengan permukaan lurang tersebut supaya tidak ada permukaan jalan seperti berlubang.
“Terdapat juga kontraktor yang membiarkan keadaan jalan tidak diturap semula sehingga jalan raya dalam kawasan Teratai keadaannya sangat teruk.
“Walaupun MPAJ mempunyai pasukan Road Gang bagi menampal jalan-jalan rosak, namun tampalan itu hanyalah untuk sementara sahaja.
“Sepatutnya, kontraktor-kontraktor yang membuat korekan jalan dan kerja menyelenggara lurang perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam keadaan ini,” katanya.
R Muniandi berkata, anaknya pernah ditimpa kemalangan kecil apabila terjatuh dari basikal sewaktu pulang dari sekolah kerana tidak nampak lurang yang mendap berikutan adanya takungan air.
“ Saya berharap pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan kepada kontraktor-kontraktor yang tidak menjalankan tanggungjawab ini dengan baik,” katanya.
sumber : sinarharian
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment