Thursday, 15 March 2012
Latio hatchback responsif!
Nissan Latio Hatchback Impul keluaran Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) begitu impresif setanding dengan model yang mendapat sentuhan eksklusif talaan Impul.
Ia begitu eksklusif kerana dikeluarkan dalam bilangan terhad dan menyasarkan kepada kaki kereta yang inginkan kereta sporty.
Lebih tersendiri, Latio hadir dengan karakter pemanduan dan prestasi dipertingkatkan berbanding stok Latio standard dan model saingan lain dalam segmen sama. Talaan Impul Nissan Latio dipertingkatkan dengan alat ganti dan aksesori Impul Aerokit, sistem suspensi sukan Impul, ekzos peredam bunyi Impul blast 2 dan terakhir rim aloi 17 inci Impul NS GT2 yang memberikan penampilan segak pada kereta.
Menerusi kit badan Impul Aerokit, keberadaannya di jalan raya meraih perhatian kerana bentuk sporty begitu menyerlah yang memancarkan visual drama dan kehadiran dinamik. Latio lima pintu ini dapat dibezakan menerusi rekaan gril dan bampar hadapan, reka bentuk bampar belakang, skirt tepi dan tidak lupa spoiler sayap yang menjadi trademark Impul.
Bahagian suspensi diberi sentuhan sistem suspensi sukan Impul yang memberikan Latio sebuah kereta dengan karakter pemanduan sukan dan prestasi. Sistem suspensi dengan modifikasi perlumbaan terasa begitu keras.
Ia bukan sahaja kit yang direndahkan tetapi suspensi prestasi tertinggi di mana merangkumi penyerap dan spring yang memberikan ketinggian pemanduan rendah 25 milimeter (mm) dan suspensi sukan ini dikatakan direka khas untuk memberikan kelembutan, fleksibel dan keselesaan pemanduan pada masa yang sama.
Ia mencapai kepada pengalaman pemanduan pecutan sukan yang meningkatkan tekanan sokongan ketika mengambil selekoh, terima kasih kepada karakter neutral selekoh. Memandunya ke Genting Highlands pada jam 3 pagi, walau anda mendesak pada bahagian selekoh atau jalan bengkok, Latio Impul berupaya bertahan dan mengekalkan kelajuan dan keluar pada lencongan tanpa kehilangan kawalan.
Boleh dikatakan pecutan meluncurnya begitu impresif sekurang-kurangnya. Malah lampu hadapan baru sepadan dengan lampu belakang yang menawarkan impresi kemas dan sporty. Di bawah bonetnya pula, model hatchback ini dipacu enjin MR18DE dan dari segi penggunaan bahan bakar boleh dikatakan cukup memuaskan.
Didatangkan dengan satu lagi edisi sporty, ekzos peredam bunyi bukan sahaja dilihat begitu sesuai dipasangkan di bawah bampar belakang tetapi bunyi yang dikeluarkan begitu sedap dan tidak begitu bingit. Perlu dipuji di sini ketika berhenti enjin begitu senyap dan kedapan bunyi juga begitu baik di mana anda tidak langsung mendengar bunyi bising dan udara dari luar walau memecut laju.
Dibaluti dengan tayar Dunlop Formula D 01 205/45 R17 ia begitu optimis dalam kawalan dan menajamkan rasa stereng serta menambahkan rasa keseimbangan dan cengkaman pada jalan raya. Sungguh selesa ketika memandunya menaiki kawasan tinggi. Apa yang boleh diringkaskan di sini, dari segi kawalan Latio Impul adalah superb!
Begitu menyerlah di bahagian luarnya, tetapi bahagian kabin boleh dikatakan begitu ringkas tetapi luas dan selesa selain daripada pengalaman pemanduan yang sedikit keras. Latio juga tampil dengan kawalan audio pada stereng dan unit pemain audio bersama input Auxiliary untuk peranti audio mudah alih.
Di samping meter berwarna putih dengan bacaan purata penggunaan bahan api, ia turut dilengkapi dengan sistem pendingin hawa automatik bersama paparan digital.
sumber : sinarharian
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment