PIHAK Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan meneroka pelaburan baru dengan kerajaan Kemboja yang akan dibuat secara usaha sama sebelum akhir tahun ini dalam usaha memperluaskan lagi operasinya.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, berkata pihaknya sudah dua kali melakukan lawatan ke negara berkenaan termasuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dan Timbalan Perdana Menterinya, Hor Namhong,bagi membincangkan projek terbabit.
Beliau berkata, kerajaan Kemboja mengalu-alukan kehadiran RISDA kerana memiliki rekod kejayaan dalam membangunkan tanah di Malaysia terutama membabitkan industri getah dan kelapa sawit.
“Mereka memerlukan keupayaan pengurusan dan teknologi kita dan kita akan melakukannya atas semangat ASEAN,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan zakat kepada badan bukan kerajaan (NGO) Johor, di Muar.
Mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan, Abdul Rahim menjelaskan, ketika ini RISDA sedang mengenal pasti lokasi tanah yang diperlukan untuk projek terbabit dan selepas itu pihaknya akan menubuhkan sebuah syarikat dikenali sebagai Risda-Cambodia Private Limited untuk menguruskannya.
Menurut beliau, pada peringkat permulaan, RISDA memohon kepada kerajaan Kemboja untuk mendapatkan sejumlah 10,000 hektar tanah bagi dibangunkan.
“Syarikat yang akan ditubuhkan itu nanti akan menguruskan secara total perniagaan di sana dan pada peringkat permulaan kita minta 10,000 hektar dan selepas itu kita mungkin akan perluaskan kepada 10,000 hektar lagi untuk membantu pekebun kecil di sana.
“Setakat ini daripada kajian dibuat, tanah di Kemboja sesuai untuk penanaman getah namun mereka hanya memiliki tanah tetapi tidak memiliki modal serta teknologi untuk memajukannya,” katanya.
Pada majlis yang sama Abdul Rahim turut menyampaikan zakat Rancangan Tanaman Baru Berkelompok (RTBB) sebanyak RM1,759,217 kepada Majlis Agama Islam Johor selain sejumlah RM100,000 lagi sebagai sumbangan kepada 70 NGO di Johor.
sumber : bharian

No comments:
Post a Comment