Pengambilalihan pegangan Khazanah dalam pengeluar kereta nasional selesai 7 hari lagi
DRB-Hicom Bhd, pemilik baru PROTON Holdings Bhd, akan mengkaji secara terperinci operasi pengeluar kereta sports mewah, Lotus Group International Ltd selepas ia menyelesaikan urus niaga pembelian pegangan 42.74 peratus milik Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dalam pengeluar kereta nasional itu
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, berkata pihaknya menjangkakan urus niaga pembelian pegangan dalam pengeluar kereta nasional itu akan selesai dalam tempoh tujuh hari lagi.
Katanya, dengan sokongan 99 peratus daripada pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasanya (EGM) semalam yang membenarkan pembelian pegangan itu, pihaknya kini mempunyai platform untuk menjalankan kajian terperinci terhadap operasi PROTON Holdings dan Lotus.
“Setakat ini kami tidak dimaklumkan 100 peratus mengenai (operasi) Lotus. Sebarang tindakan kami selanjutnya terhadap Lotus adalah bergantung kepada kajian terperinci yang akan kami laksanakan sebaik saja urus niaga pembelian pegangan dalam PROTON Holdings selesai,” katanya pada sidang media selepas EGM di Shah Alam, semalam.
Mohd Khamil berkata, DRB-Hicom mempunyai beberapa pilihan termasuk perubahan dalam barisan pengurusan utama Lotus, memantapkan barisan pengurusannya serta menjual sebahagian atau keseluruhan pegangan dalam pengeluar kereta sport mewah itu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, semua pilihan itu sama ada dilaksanakan atau tidak bergantung kepada kajian terperinci yang akan dilaksanakannya nanti.
“Kami perlu adil terhadap Lotus kerana terdapat banyak spekulasi dalam akhbar mengenai Lotus. Kami perlu melihat sama ada pelan transformasi yang dilaksanakannya pada 2010 itu berjaya atau tidak.
“Kami perlu meneliti secara terperinci sebelum membuat keputusan yang terbaik untuk Lotus,” katanya.
Pada 16 Januari lalu, Khazanah mengumumkan penjualan 42.74 peratus kepentingannya dalam PROTON Holdings kepada DRB-Hicom pada harga RM5.50 sesaham atau RM1.291 bilion dan DRB-Hicom membuat pembelian tambahan sebanyak 7.27 peratus lagi saham pengeluar kereta nasional itu di pasaran terbuka sebanyak RM217 juta pada 17 Januari.
Apabila selesai proses jual beli itu, DRB-Hicom akan membuat tawaran am mandatori (MGO) bagi baki saham PROTON Holdings yang tidak dimilikinya juga pada RM5.50 sesaham, sekali gus menjadikan kos keseluruhan pengambilalihan itu RM3 bilion.
Konglomerat yang dikuasai usahawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary itu akan membiayai urus niaga itu menerusi dana dalaman (15 peratus) dan pinjaman (85 peratus).
Ditanya sama ada wujud perubahan dalam barisan pengurusan utama PROTON Holdings, Mohd Khamil berkata, akan ada peningkatan dalam barisan pengurusan PROTON dengan gabungan muka baru dan lama.
Beliau berkata pihaknya akan mengumumkan barisan pengurusan baru PROTON itu dalam tempoh terdekat.
sumber : bharian

No comments:
Post a Comment