Tuesday, 13 March 2012
Ramai wanita takut jalani pemeriksaan
KUANTAN – Biarpun pelbagai kempen dijalankan untuk memastikan tahap kesedaran wanita mengenai kepentingan pengesanan awal kanser payudara, tetapi tidak ramai tampil menjalani rawatan.
Sehubungan itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengadakan program kesedaran dihadiri hampir 800 wanita untuk menarik minat mereka mendaftar bagi menjalani ujian mamogram.
Suri rumah, Siti Rohaida Mellan, 42, berkata, perasaan takut untuk menjalankan pemeriksaan awal mengesan kanser payudara perlu dihapuskan bagi mengetahui tahap kesihatan apabila usia semakin meningkat.
“Sebelum ini, saya takut untuk membuat ujian. Tetapi selepas mendengar ceramah mengenai penyakit ini, minda saya lebih terbuka dan bersedia membuat pemeriksaan. Ia berikutan saya pernah mengalami masalah ketika menyusukan bayi sehingga perlu mendapatkan rawatan di hospital.
Alhamdulillah, saya tidak mengalami penyakit berbahaya itu, tetapi tetap bimbang kerana kanser hanya disedari apabila keadaan semakin serius,” katanya.
Dai berkata demikian semasa program itu berlangsung di UMP Kampus Gambang, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) LPPKN, Dr Anjli Doshi dan Pengarah LPPKN negeri, Nor Azizah Mamud.
Kakitangan Pusat Rawatan Payudara, Universiti Islam Antarabangsa di sini, Shahida Zainordin, 28, berkata, masih ramai wanita keberatan membuat pemeriksaan awal mengesan kanser payudara kerana takut menerima hasil ujian.
“Jika individu itu disahkan sebagai penghidap kanser payudara, segeralah menjalani rawatan. Jangan menangis, sedih dan murung kerana paling penting kehidupan berkualiti perlu diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Nor Azizah berkata, program peringkat negeri itu sudah mencapai matlamat apabila lebih 50 peratus daripada sasaran 2,600 orang mendaftar untuk menjalani ujian mamogram.
sumber : sinarharian
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment