Partime Job

There was an error in this gadget

Tuesday, 20 March 2012

PKR dakwa PM campur tangan kes saman peneroka Felda

KUALA LUMPUR - PKR hari ini mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak campur tangan dalam kes-kes saman peneroka terhadap pengurusan Felda, yang menurut parti itu pihaknya bimbang tentang ketelusan kehakiman.

Ahli Parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mempunyai maklumat minit mesyuarat bersama pengurusan Felda yang dipengerusikan Najib sendiri pada 27 Jun 2011 di bangunan Parlimen.

"Dalam mesyuarat tersebut, Najib meminta hakim dan peguam diberikan kefahaman mengenai kes saman peneroka Felda Serting terhadap Felda berhubung isu kadar perahan minyak kelapa sawit.

"Ayat beliau (Najib) merupakan ayat yang tercatat dalam dokumen rasmi mesyuarat Felda yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang menyebut dengan terang bahawa dalam kes kadar perahan minyak yang belum ditentukan tarikh perbicaraan penuh, pastikan hakim dan peguam faham berkenaan isu ini, pastikan Felda menang supaya tidak menjejaskan kes lain.

"Secara terang menunjukkan berlakunya manipulasi kehakiman," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Pada sidang media itu Saifuddin turut menunjukkan kepada wartawan satu salinan minit mesyuarat berkenaan dengan tertera perenggan yang kontroversi itu.

Dalam perenggan minit tersebut tertulis ayat seperti berikut:

"Bagi kes yang melibatkan kadar perahan minyak (OER), di mana kedua-dua kes masih belum ditetapkan untuk perbicaraan penuh, pastikan hakim dan peguam diberi kefahaman subjek dan kaedah teknikal bagi pengiraan OER.

"Pastikan Felda memenang kes ini supaya tidak menjejaskan kes-kes seterusnya."

Menurut Saifuddin, ada 20 kes yang melibatkan Felda dan pihaknya mahu Najib memberikan penjelasan berhubung perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

"Saya minta tadi sewaktu perbahasan dalam dewan Perdana Menteri dalam jawapannya mesti tampil menjelaskan apakah ini menjadi amalan dalam kes peneroka lawan Felda ini," katanya.

Setiausaha Agung PKR itu berkata, kes yang dirujuk tersebut membabitkan tuntutan mahkamah yang difailkan oleh 766 peneroka dari Serting Hilir dan penempatan Felda Raja Alias terhadap Felda, di Mahkamah Tinggi Seremban dan satu lagi saman oleh 645 peneroka dari penempatan Felda Maokil, yang difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Mereka mendakwa Felda telah menipu mereka dan menyebabkan mereka menanggung kerugian yang besar.

Tuntutan itu difailkan oleh peguam Sivarasa Rasiah bagi pihak peneroka dari Felda Serting dan Raja Alias, berdekatan Jempol, Negeri Sembilan.

Mereka menamakan Felda dan Felda Palm Sdn Bhd masing-masing sebagai defenden pertama dan kedua.

Dalam tuntutanya itu, mereka mendakwa wujud penipuan atau konspirasi untuk melakukan penipuan dalam urusan jual beli dan hasil buah sawit.

sumber : sinarharian

No comments: