Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Peniaga rayu kesan ibu hilang di Jalan Masjid India

JOHOR BAHARU - Seorang peniaga hari ini merayu orang ramai membantu mengesan ibunya yang hilang ketika mengunjungi sebuah kedai pakaian, di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, Ahad lepas.

Siti Haryati Ariffin, 42, dari Taman Puteri Wangsa, di sini, berkata ibunya, Zabedah Masood, 70, disedari hilang selepas dia dan tiga anaknya selesai membeli pakaian di kedai berkenaan, pada pukul 2.15 petang.

"Saya hanya berada di kedai berkenaan kira-kira 10 minit. Puas saya mencari ibu saya di dalam kedai itu dan kawasan sekitar sehingga pukul 8 malam namun tidak jumpa," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Siti Haryati yang sangat bimbang mengenai keselamatan ibunya, telah membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Beliau berkata pada hari kejadian ibunya membawa kad pengenalan diri dan memakai baju berwarna merah jambu serta tudung dan seluar panjang berwarna hitam.

"Kehilangan ini merupakan kejadian pertama. Saya berharap orang yang menemui ibu saya dapat membantunya pulang kerana ibu saya tidak mengalami masalah hilang ingatan cuma dia tidak mengetahui nombor telefon saya," katanya.

Sehubungan itu, Siti Haryati merayu mereka yang mempunyai maklumat mengenai ibunya supaya menghubunginya di talian 017-8220040 atau balai polis berhampiran. - Bernama

No comments: