Partime Job

Tuesday 20 March 2012

Penduduk tak tahan debu, habuk


JENIANG – Akibat tidak tahan terdedah kepada debu dan habuk sejak kerja-kerja naik taraf dibiarkan dua minggu lalu, penduduk Kampung Batu 10, Jalan Jeniang-Bukit Selambau mengutarakan masalah agar ada tindakan diambil.

Penduduk, Omar Saad, 59, berkata, sejak kerja-kerja naik taraf itu, penduduk mula menanggung risiko.

“Kami rimas dengan keadaan habuk dan debu berterbangan. “Keadaan bertambah buruk apabila jalan berkenaan dilalui kenderaan berat yang membawa pelbagai muatan,” katanya.

Sementara itu, Azwan Awang, 27, berkata, masalah debu menyebabkan dia terpaksa menutup gerai makan miliknya beberapa hari.

“Pelanggan juga sering merungut dengan keadaan ini. Debu agak terkawal sekiranya hari hujan tetapi lebih teruk jika tiada hujan,” katanya.

Menurutnya, jalan rosak itu sudah pun dikorek dan dimampatkan dengan batu kasar yang baru tetapi sejak beberapa hari ini dilihat tiada operasi dijalankan.

Sementara itu, Nasarudin Dollah, 46, berkata, anaknya yang berusia 10 tahun menghidap masalah asma dan alah dengan habuk.

Dia yang menetap di sebuah rumah yang lokasinya betul-betul di hadapan jalan berkenaan terpaksa menutup pintu sepanjang masa.

Sementara itu, kakitangan Jabatan Kerja Raya yang enggan dikenali memaklumkan, kerja-kerja pembinaan baru sahaja dimulakan sejak 15 hari lalu.

Menurutnya, kerja-kerja naik taraf yang dilakukan sepanjang 800 meter itu bertujuan memberi kemudahan terbaik kepada penduduk.

“Habuk dan debu makin banyak apabila kenderaan berat yang sepatutnya menggunakan laluan alternatif turut melalui kawasan sama. Kita bagaimanapun telah memasang papan tanda amaran bagi menghalang kenderaan berat namun tidak dipatuhi sepenuhnya. Sehingga kini proses pengorekan sedang dilakukan kerana ia melibatkan jalan yang panjang bukan di sini sahaja malah sepanjang jalan,” katanya.

Bagaimanapun, dia menafikan kerja-kerja dibiarkan begitu sahaja sedangkan masih menunggu proses seterusnya sebelum diturap.

“Kita jangkakan jalan ini boleh diguna semula dalam tempoh dua minggu lagi dan berharap agar pengguna bersabar selain mengenakan had laju rendah atau laluan alternatif bagi mengelak sebarang masalah tidak diingini,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: