Partime Job

Thursday, 15 March 2012

'Pencuri senyap penglihatan'

JOHOR BAHRU – Glaukoma merupakan antara penyakit mata merbahaya kepada manusia dan telah menyebabkan gejala cacat penglihatan kepada kira-kira 1.8 peratus pesakit buta di negara ini.

Pegawai Perubatan Jabatan Oftalmalogi Hospital Sultanah Aminah (HSA), Dr Hayati Abd Aziz berkata, glaukoma antara penyakit mata yang sukar dikesan dan dianggap sebagai ‘pencuri senyap penglihatan’ oleh pengamal perubatan.

“Keadaan ini dapat dibuktikan menerusi statistik Malaysian National Eyes Survey bahawa 1.8 peratus pesakit buta adalah disebabkan penyakit glaukoma,” katanya.

Sehubungan itu katanya, HSA melalui Jabatan Oftalmalogi mengadakan ceramah pendedahan berkaitan penyakit glaukoma kepada orang ramai sempena sambutan Minggu Glaukoma Sedunia, kelmarin.

“Program selama dua hari pada 13 dan 15 Mac bermula dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang di HSA. Pengunjung yang hadir diberi peluang mengetahui lebih lanjut mengenai glaukoma, risiko dan rawatan penyakit ini,” katanya.

Selain itu katanya, sambutan yang diadakan kali ini amat menggalakkan berbanding tahun lalu malah kira-kira 300 pengunjung mula menyertai kempen pendedahan berkenaan yang diadakan secara percuma.

Katanya, antara aktiviti yang diadakan termasuklah ruang pameran, ceramah serta rawatan percuma kepada pengunjung yang hadir bagi membolehkan mereka mengenal pasti punca yang men­yebabkan masalah buta.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Abdul Aziz Abdul Latif, 36 berkata, beliau telah memakai cermin mata sejak berumur enam tahun namun penglihatannya semakin kabur walaupun telah memakai cermin mata sehingga menyebabkannya sukar bekerja.

“Saya telah beberapa kali membuat pemeriksaan mata di kedai cermin mata namun diberitahu bahawa masalah yang saya hadapi berpunca dari bola mata. Jadi, untuk mendapatkan kepastian dan mengetahui dengan lebih lanjut mengenai masalah yang dihadapi, saya membuat keputusan untuk mengikuti program ini,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: