Partime Job

Thursday 22 March 2012

Pembinaan jejas peniaga


JITRA - Peniaga-peniaga di Bazar Mara di sini, merungut selepas pendapatan mereka semakin terjejas akibat pembinaan sebuah bangunan perniagaan lain di hadapan bazar yang menghalang aktiviti perniagaan mereka di situ.

Wakil peniaga yang juga pemilik gerai makanan, Abdul Aziz Abdullah, 57, berkata, pendapatan mereka semakin terjejas selepas bangunan terbabit mula dibina sejak pertengahan Ogos tahun lalu.

Menurutnya, malah tindakan membina bangunan berkenaan tanpa mempunyai ruang sebagai jarak pemisah antara bazar tempat mereka mencari rezeki dan tiada tempat meletak kenderaan pelanggan, menyekat laluan masuk ke gerai mereka.

“Berikutan itu peniaga di sini menghantar satu surat bantahan mendirikan bangunan terbabit kepada Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) pada 20 September 2011 dan mendapat maklum balas MDKP pada 5 Oktober tahun sama.

“Berdasarkan maklum balas diterima, MDKP mengambil tindakan penguatkuasaan untuk menghentikan kerja pembinaan di tapak itu namun, sehingga kini ia masih diteruskan dan hampir siap dibina,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Sebelum ini terdapat 10 lot ruang niaga yang beroperasi di bazar berkenaan namun, sejak beberapa bulan lalu, tiga daripadanya sudah ditutup dan hanya tinggal tujuh ruang niaga termasuk gerai makanan dan minuman selain pejabat yang masih beroperasi di bangunan dua tingkat itu.

Abdul Aziz berkata, selepas tiada sebarang tindakan diambil, peniaga sekali lagi menghantar surat bantahan kedua bertarikh 16 Februari lalu yang ditujukan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah namun tiada sebarang maklum balas diterima.

Peniaga lain, Rosmah Ismail yang menjalankan perniagaan pendaftaran kursus perkahwinan itu mendakwa sejak bangunan terbabit dibina, pendapatannya semakin terjejas kerana pelanggan tidak mengetahui mengenai perniagaan yang dijalankannya.

Menurutnya, dia hanya berharap kepada pelanggan sedia ada dan rakan yang mengetahui perniagaan yang dijalankan itu untuk dihebahkan kepada orang lain.

“Sejak tujuh bulan kebelakangan ini pendapatan peniaga di sini semakin terjejas, malah saya sendiri mengalami kemerosotan sehingga 20 peratus berbanding sebelumnya. Kami sangat berharap masalah ini dapat perhatian pihak bertanggungjawab dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MDKP, Ahmad Fisol Md Nor ketika dihubungi mengesahkan menerima surat bantahan daripada peniaga yang bertarikh 20 September tahun lalu dan maklum balas diberi melalui surat bertarikh 5 Oktober 2011.

Menurutnya, melalui surat itu pihaknya sudah mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 70A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 untuk menghentikan kerja-kerja tanah tanpa kebenaran di tapak itu pada 22 September 2011 setelah pemilik binaan gagal mematuhi notis di bawah seksyen berkenaan.

“Majlis juga telah mengeluarkan notis meruntuhkan binaan di bawah Seksyen 72, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang mengehendaki pemilik meruntuh binaan itu dalam tempoh dua minggu.

“Bagaimanapun kita dapati pemilik bangunan terbabit gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan dan kita merujuk kes terbabit ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: