BESUT - Kegembiraan sekumpulan 60 pelajar Sekolah Menengah Bachok, Kelantan berkelah di kawasan Air Terjun Lata Tembakah, Hulu Besut semalam meninggalkan kenangan pahit apabila salah seorang daripada mereka lemas ketika mandi.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata Wan Aiman Shairi Wan Nasir, 17, lemas ketika sedang mandi berseorangan di tingkat dua, kawasan perkelahan itu.
Beliau berkata sebelum kejadian, pelajar tingkatan lima itu bersama rakan-rakannya datang ke situ dengan berkonvoi motosikal beramai-ramai.
"Mereka berkumpul di sekolah dan bergerak sekitar pukul 10 pagi dan sebaik sampai di lokasi pukul 1 petang, Wan Aiman Shairi terus terjun mandi manakala rakan-rakannya yang lain berehat sambil menikmati makanan," katanya kepada pemberita.
Jelasnya, selang 10 minit mangsa mandi, seorang rakannya yang kebetulan berada di atas batu berdekatan tempat kejadian, sempat melihat mangsa tenggelam timbul dan segera memberi bantuan menarik keluar mangsa dari air.
"Selepas kejadian mangsa yang tidak sedarkan diri telah dikejarkan ke Hospital Daerah Besut tetapi dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan," katanya.
Sementara itu, seorang rakan mangsa yang sempat ditemui di hospital, Adib Safuan Roslan, 17, berkata mereka pergi berkelah ke kawasan berkenaan bagi merehatkan diri selepas menduduki peperiksaan penggal pertama di sekolahnya minggu lepas.
Katanya, mereka telah merancang perkelahan tersebut tanpa membabitkan pihak sekolah.
Katanya, sebaik tiba di lokasi mereka berehat tetapi Wan Aiman Shairi terus turun mandi, namun tidak lama kemudian tenggelam timbul dalam air.
"Kami mula-mula menjangkakan dia bergurau tetapi apabila menyedari dia lemas, kami cepat-cepat terjun bantu namun tidak dapat berbuat apa-apa lagi," katanya.
Mayat mangsa dituntut keluarganya untuk pengebumian kira-kira jam 4.30 petang semalam. - Bernama

No comments:
Post a Comment