GEORGETOWN – Di Pulau Pinang hanya ada dua sahaja pasar lambak (flea market) yang dibuka secara tetap iaitu di Little Penang, Jalan Upper Penang dan juga Straits Quay.
Lokasi itu antara tempat yang menjadi kunjungan paling ramai pelancong dari luar negara.
Kedua-dua pasar lambak berkenaan meriah dengan kehadiran pelancong termasuk dari dalam negara.
Lokasi Little Penang yang terletak di Jalan Upper Penang juga strategik kerana berhampiran dengan Little India dan juga Jalan Penang yang sudahpun menjadi pusat tumpuan.
Manakala Straits Quay, menjadi pusat tumpuan pelancongan kerana pasar raya dan juga kawasan perumahan yang baru sahaja dibina.
Pengunjung, Steven Sam, 54 berkata, ini bukan kali pertama dia mengunjungi pasar lambak di sini.
Menurutnya, dia yang tinggal di Tanjung Bungah melalui program Malaysia My Second Home (MM2H) sanggup berulang alik dari rumah ke Georgetown setiap Ahad untuk melihat barangan unik di bazar itu.
“Bagi saya suasana di bazar ini begitu selesa dan mendamaikan, malah ia menjual barang-barang yang begitu unik dan cantik.
“Bukan selalu penduduk tempatan melihat suasana sebegini. Paling bagus ialah hampir 70 peratus barangan adalah buatan Malaysia,” katanya.
Berlainan bagi Anna Mui, 32, yang baru pertama kali berkunjung ke Pasar Lambak Straits Quay begitu teruja dengan keunikan bazarnya.
Dia yang baru sahaja tiba dua hari di Pulau Pinang mendapat tahu mengenai bazar berkenaan melalui kaunter informasi negeri ini iaitu di Pusat Membeli Belah Queensbay Mall.
“Tak sangka, semua barang cantik dan unik. Mungkin saya tidak akan dapat di negara saya sendiri, dan kunjungan kali ini amat bermakna buat saya dan suami,” katanya.
Jurucakap Flea Market Little Penang, Lucy Lui berkata, Little Penang dibuka setiap bulan mengikut hari tertentu.
Menurutnya, bazar yang mula dibuka sejak tahun 2006 itu juga dipenuhi dengan jualan kraf tangan, seperti pinggan klasik, pakaian, beg tangan wanita yang terdiri daripada pelbagai rekaan unik.
“Selain mendapatkan kraf tangan, orang ramai juga berpeluang berhibur dengan program kesenian yang diadakan sepanjang hari.
“Bukan sahaja pengunjung tempatan, pelancong dari luar turut menghiburkan orang ramai dengan nyanyian spontan mereka,” katanya.
Sementara itu pihak pengurusan Little Penang mengalu-alukan peniaga dan juga individu yang berminat untuk membuat persembahan di bazar Little Penang.
Anda hanya perlu menghubungi talian 0164883632 atau layari laman web www.littlepenang.com.my untuk memuat turun borang.
sumber : sinarharian

No comments:
Post a Comment