Partime Job

Thursday 1 March 2012

Mayat Disangka Orang Tidur

SEREMBAN – “Saya ingatkan dia sedang tidur,” katanya seorang pekerja penye­lenggaraan Majlis Perban­daran Seremban (MPS) apa­-bila menjumpai mayat seorang lelaki di Pusat Penjaja Jalan Lee Sam, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, A.Silvaraju, 56, berkata, dia sedang memulakan paginya dengan menyapu sampah di kawasan berkenaan sebelum melihat lelaki berkenaan terbaring di satu sudut dekat pusat penjaja berkenaan,

“Pada mulanya saya ingat lelaki itu sedang tidur. Tetapi, apabila melihat keadaannya tidak bergerak dari jarak dekat, saya dapati mulut dan hidungnya berdarah.

“Saya tak tunggu lagi dan terus hubungi penyelia memaklumkan penemuan itu sebelum mendapatkan bantuan daripada klinik kesihatan yang terletak beberapa meter dari situ serta menghubungi polis,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, mayat mangsa yang dikenali sebagai M. Segar, 28, dari Salak Tinggi, Selangor, dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komi­sioner Saiful Azly Kamarud­din mengesahkan menerima laporan berkenaan.

“Polis masih menunggu hasil bedah siasat untuk mengetahui punca kejadian. Sekiranya terdapat unsur jenayah, kita akan buka kertas siasatan.

“Buat masa ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya ketika dihubungi Sinar Hari­an di sini, semalam.

Sumber : Sinar Harian

No comments: