Partime Job

Thursday, 15 March 2012

Mati GPS curi kereta

PORT DICKSON: Berbekalkan tiga peralatan canggih dibeli dari China, satu sindiket dianggotai tujuh individu termasuk ‘pakar elektronik’ dikesan melarikan pelbagai jenis kenderaan mewah di empat negeri sebelum dijual semula dengan harga lebih murah.

Difahamkan, kumpulan itu menggunakan alat dinamakan ‘Signal Jammer’ yang berfungsi menyahaktifkan frekuensi penggera keselamatan dan alat sistem pengesanan global (GPS) kereta sasaran.


Mereka kemudian mengumpil pintu kereta itu lalu melarikannya dan rata-rata mangsa tidak sedar berikutan sistem keselamatan berkenaan sudah ‘dipadamkan’. Selepas melarikan kereta, suspek menggunakan peralatan digelar ‘Key Programming System’ untuk meneutralkan semula sistem keselamatan berkenaan termasuk kunci. Bagi menghidupkan kenderaan curi itu, mereka turut menggunakan ‘Electronic Control Unit (ECU)’ dengan semua peralatan itu dianggarkan bernilai RM50,000.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, taktik kumpulan itu dibongkar apabila tujuh anggota sindiket curi kereta mewah itu diberkas di negeri ini, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur dalam tempoh dua bulan bermula Januari lalu.


“Dalam tangkapan pertama, kita menahan dua anggota kumpulan itu di sekitar Kluang, Johor, pada 28 Januari lalu.


“Hasil soal siasat membawa kepada penahanan dua lagi rakan mereka di sebuah kedai makan di sekitar daerah ini pada 12 Februari lalu.

“Kita kemudian memberkas seorang lagi individu di Puchong, Selangor dan turut menemui semula sebuah Toyota Wish dipercayai dicuri di sekitar Selangor,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini, semalam.


Menurut beliau, polis turut melakukan beberapa siri tangkapan dan rampasan di sekitar negeri ini dan Selangor.

“Selain menahan dua lelaki dan merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan di Kepong, kita merampas lapan kereta mewah dianggarkan bernilai RM500,00 di empat negeri berasingan.


“Pemeriksaan mendapati semua kereta berkenaan masing-masing lima jenis Honda dan tiga Toyota termasuk yang turut menggunakan nombor pendaftaran serta cukai jalan palsu,” katanya.


Kata Osman, semua suspek berusia 25 hingga 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A dan 411 Kanun Keseksaan.

sumber : mymetro

No comments: