Partime Job

Friday 30 March 2012

Majlis Belia Selangor kesal sewa bangunan naik 300 peratus

SHAH ALAM - Majlis Belia Selangor (MBS) kesal dengan tindakan syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Selangor, MSNS Holdings Sdn Bhd, yang menaikkan sewa premis pejabat persatuan itu di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7 di sini.

Timbalan Presiden MBS Badrul Hisham Badrudin berkata MSNS, yang merupakan syarikat pengurusan kompleks itu, dalam satu surat awal tahun ini menaikkan sewa asal RM1,977 sebulan kepada RM5,280 berkuat kuasa Januari lepas.

Beliau berkata sebelum ini, MBS tidak perlu membayar sewa dan beroperasi di tingkat empat dan lima premis itu sejak 2001, namun mulai Januari 2011, syarikat milik kerajaan negeri tersebut mengenakan sewa RM1,977 bagi satu tingkat.

"Memandangkan kami tidak mempunyai sumber kewangan kerana MBS adalah persatuan sukarela, maka kami membuat keputusan untuk beroperasi di tingkat lima sahaja dan terpaksa mengosongkan tingkat empat premis itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Badrul Hisham mendakwa MSNS juga tidak memberi sebarang respon walaupun beberapa surat rayuan dihantar, yang meminta supaya kadar sewa itu dikurangkan, malah mereka juga tidak memberi alasan kenaikan mendadak tersebut.

Beliau berkata pihaknya juga akan menghantar memorandum kepada Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, selaku Penaung MBS, minggu depan bagi menerangkan situasi yang dihadapi, selain sekali lagi menghantar surat rayuan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk merayu kadar sewa dikurangkan.

Badrul Hisham berkata tindakan kerajaan Selangor itu menafikan hak kira-kira 425,000 anggota MBS di Selangor, yang mempunyai 17 badan gabungan dan sentiasa merangka aktiviti belia di negeri itu.

"Kita kesal dan rasa dianaktirikan, tanpa sebarang peruntukan diberikan serta penglibatan untuk aktiviti belia, dan kini, kerajaan Selangor mahu mengusir kami dari pejabat yang menjadi penyelaras kepada aktiviti belia di seluruh negeri ini.

"Walau apapun yang terjadi, kami akan pertahankan bangunan ini kerana ia dibina dengan tujuan untuk aktiviti belia, namapun kompleks belia," katanya.- Bernama

No comments: