Partime Job

Thursday, 15 March 2012

Lima kemalangan sehari


KOTA TINGGI - Sebanyak lima kemalangan berlaku dalam sehari di jalan utama Felda Sungai Sayong di sini, dipercayai berpunca daripada tumpahan pati minyak sawit yang dibawa sebuah lori tangki, semalam.

Penduduk, Wahid Abd Wahab berkata, kemalangan yang membabitkan kenderaan seperti motosikal, kereta dan van berlaku secara berasingan di laluan tumpahan minyak berkenaan namun tidak mengakibatkan kejadian yang serius.

“Pada hari ini (semalam), lima kemalangan berlaku akibat tumpahan minyak berkenaan. Keadaan jalan raya utama di sini, menjadi licin tambahan pula cuaca hujan menyebabkan kebanyakan kenderaan yang dipandu hilang kawalan dan terbabas. Malah, kebanyakan mangsa adalah orang luar yang memandu laju, selain mereka tidak tahu berlaku tumpahan minyak di jalan berkenaan. Namun, syukurlah mereka yang terlibat hanya cedera ringan,” katanya kepada Sinar Harian.

Manakala, Jaafar Abdullah, 49, berkata, dia yang memiliki sebuah bengkel di laluan utama kampung berkenaan melihat sendiri sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak sawit dari arah Kluang mengeluarkan cecair berkenaan dari bawah kenderaan itu.

“Kira-kira jam 8 lebih, pagi tadi (semalam), saya yang kebetulan berada di hadapan bengkel berasa hairan apabila terlihat minyak merembes keluar dari bawah sebuah lori tangki yang melalui jalan berkenaan. Cecair berkenaan berwarna kekuningan dan melekat di sepanjang jalan raya, malah, berkemungkinan besar pemandu lori terbabit tidak mengetahui tentang kebocoran yang berlaku. Niat saya mahu menahan kenderaan berkenaan untuk memberitahu pemandunya berhubung kebocoran yang berlaku tidak kesampaian kerana ia bergerak laju dan semakin jauh,” katanya.

Sementara itu, Wahid yang juga Pemangku Ketua Pemuda Umno Cawangan Felda Sungai Sayong berkata, selepas memaklumkan masalah berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Raja, Datuk Dr Adham Baba, tindakan segera terus diambil dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi yang bergegas ke lokasi kejadian.

“Anggota bomba mula melakukan kerja pembersihan kesan minyak berkenaan pada waktu pagi dengan pancuran air sebelum menabur serbuk kayu dan bahan penyerap minyak bagi mengelakkan jalan itu terus licin pada sebelah petang. Tindakan mereka ini sekali gus dapat mengelakkan daripada berlakunya kejadian kemalangan yang lebih teruk. Malah, kita juga mahu mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pihak wakil rakyat dan semua pihak yang turut sama terlibat membantu mengatasi masalah ini,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, sebuah jentera bomba dengan lima anggota sedang melakukan kerja menabur serbuk penyerap minyak di sepanjang jalan utama kampung tersebut iaitu sejauh 250 meter di kawasan yang terlibat dengan tumpahan minyak tersebut, petang semalam.

sumber : sinarharian

No comments: