KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan melalui panggilan telefon lebih dikenali sebagai ‘Macau Scam’ dikesan kembali aktif dan lebih licik apabila kini menggunakan modus operandi menyamar sebagai pegawai kanan polis sebelum memaklumkan mangsa terbabit dalam kes penipuan siber dan perlu memindahkan wang daripada akaun persendirian ke akaun tertentu.
Sehingga kini, puluhan aduan dan panggilan daripada orang awam diterima Pusat Kawalan Malaysia Bukit Aman (MCC), yang memaklumkan dihubungi individu mendakwa pegawai kanan polis menggunakan nama Inspektor Soh atau Asisten Superintendan (ASP) Soh.
Hasil siasatan lanjut, polis mendapati sindiket penipuan terbabit menggunakan taktik licik berkenaan dengan memalsukan nombor telefon MCC, 03-2031 9999, Talian Utama PDRM, 03-2266 2222, Bilik Gerakan Jabatan Siasatan Komersil (JSJK) Bukit Aman, 03-2616 3999 dan melalui telefon bimbit 016-376 9690.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan (gambar) berkata, pihaknya juga mendapat laporan, ada ahli sindiket berkenaan turut menyamar sebagai pegawai Bank Negara dan memperdaya mangsa dengan mengarahkan mereka memindahkan wang ke akaun diberikan ahli sindiket terbabit.
“Orang ramai jangan terpedaya, kerana pihak polis, bank dan mana-mana pihak berkuasa lain tidak pernah mengarahkan sesiapa memindahkan wang dari akaun persendirian ke akaun lain. Jangan sesekali menggunakan atau memindahkan wang ke nombor akaun diberikan.
“Kebiasaannya kumpulan ini menggunakan panggilan antarabangsa dan mempunyai program khas memalsukan pelbagai nombor telefon termasuk nombor telefon pihak berkuasa bagi memperdaya mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, JSJK kini sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan suspek utama sindiket penipuan terbabit yang mengikut rekod kebiasaannya didalangi warga Taiwan atau China.
Laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), mendedahkan dari jam 9 pagi hingga 2 petang kelmarin, polis menerima hampir 30 panggilan dan aduan orang ramai mengenai panggilan diterima daripada individu mendakwa pegawai polis dan mengarahkan memindahkan wang dalam akaun bank kerana terbabit dalam penipuan siber.
Polis menasihatkan orang ramai menerima panggilan mana-mana nombor terbabit supaya menghubungi MCC 03-20319999 untuk pengesahan dan tidak sesekali memberikan maklumat seperti nombor kad pengenalan, akaun bank, alamat kepada individu tidak dikenali.
Sumber : myMetro

No comments:
Post a Comment