KARAI – Sebahagian besar jalan utama Karai-Jawang, di sini, runtuh akibat banjir teruk yang melanda Kampung Kuala Karai, awal pagi kelmarin.
Ketua Kampung Loh Karai, Hasanal Basari Manas berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada struktur kelubung di bahagian bawah tanah yang telah lama dan tidak mampu menampung laluan air.
Beliau berkata, akibatnya kelubung itu pecah sehingga menyebabkan hakisan dan tanah runtuh.
“Jalan ini sudah lama dibina, sejak 30 tahun lalu dan digunakan oleh penduduk dari beberapa kampung termasuk Loh Karai, Periang dan Jawang. Hujan turun bermula jam 4.00 petang dan berterusan sehingga pagi. Jalan ini dipercayai runtuh kira-kira jam 3.00 pagi,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Hasanal berkata, jalan ditutup demi keselamatan penduduk dan dijangkakan akan dibuka semula pada 14 Mac ini.
“Kini penduduk terpaksa menggunakan jalan alternatif untuk keluar ke pekan walaupun laluan ini juga tidak berapa elok. Namun, tidak lama lagi akan dinaiktarafkan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pihaknya sudah beberapa kali membuat permohonan supaya kelubung sedia ada ditukar kerana ia sudah terlalu lama kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.
Katanya, kini kerja baik pulih dijalankan dengan segera oleh kontraktor yang dilantik oleh pihak berkuasa.
“Ia dijangkakan akan mengambil masa selama satu hari sahaja untuk urusan baik pulih. Namun, sedikit masalah timbul apabila pihak kontraktor menunggu jawapan daripada TNB sama ada terdapat kabel elektrik atau tidak di bahagian bawah tanah,” katanya.
smber : sinarharian

No comments:
Post a Comment