Partime Job

Monday 19 March 2012

Jadi mangsa langgar lari


BEGINILAH keadaan basikal milik Rafizi yang maut selepas dirempuh sebuah kereta di MRR2 berhampiran susur keluar ke Taman Melawati, Ampang Jaya semalam.


AMPANG JAYA - Seorang ahli Kelab Basikal LeTua terbunuh selepas dipercayai menjadi mangsa langgar lari dalam kemalangan di Kilometer 20.2, Lebuh Raya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) berhampiran Taman Melawati di sini semalam.

Kejadian pukul 7.50 pagi itu mengakibatkan Rafizi Hamdan, 37, mati di tempat kejadian selepas basikal berharga RM30,000 yang sedang dikayuhnya dirempuh oleh sebuah kereta jenis Proton Saga.

Sebelum kejadian, pegawai bank CIMB di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur sedang mengayuh basikal bersendirian dari rumah mertuanya di Kampung Pasir di sini ke Genting Sempah.

Di tengah perjalanan, dia kemudian telah dirempuh hingga terjatuh manakala pemandu kereta tersebut dipercayai melarikan diri sebelum membuat laporan polis.

Biras mangsa, Akmal Abu Hanif, 36, berkata, Rafizi yang menetap di Seremban datang ke rumah keluarga mertuanya pada setiap hujung minggu dan kerap menghabiskan masa lapang dengan mengayuh basikal.

"Dia ada mengajak saya mengayuh basikal tetapi tadi (semalam) saya terpaksa keluar awal (pukul 6 pagi).

"Saya hanya tahu kejadian ini selepas salah seorang daripada kumpulan basikal kami menghubungi saya memaklumkan Rafizi kemalangan," ceritanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini semalam.

Tambahnya, Rafizi yang baru sahaja menimang cahaya mata kedua 40 hari lalu itu memang meminati aktiviti mengayuh basikal sejak 10 tahun lalu tetapi belum pernah menyertai sebarang pertandingan.

sumber : kosmo

No comments: