Partime Job

Friday 30 March 2012

Individu letak mercun dalam tandas stesen LRT bukan pakar bom

KUALA LUMPUR: Individu yang meletakkan mercun pada penutup mangkuk tandas di Stesen LRT Sri Rampai, Rabu lalu yang mengakibatkan seorang lelaki cedera, bukannya pakar membuat bom, kata polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata anggota-anggota forensik polis mengenal pasti bahan api yang digunakan hanyalah sejenis mercun.

"Ia bukan dilakukan oleh mereka yang pakar membuat bahan api...ia hanyalah sejenis mercun, bukan bom kerana tiada sumbu, bateri atau mempunyai jangka masa untuk diletupkan.

"Kita telah mendapatkan rakaman CCTV yang merakam suspek yang masuk ke dalam tandas itu sebelum mangsa. Kita akan teliti untuk mengesannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ku berkata perbuatan individu itu juga tidak menyasarkan pihak tertentu.

"Mungkin suspek telah menyalakan mercun berkenaan terlebih dahulu di belakang penutup tandas itu sebelum keluar," katanya.

Dalam kejadian 1.15 petang itu, Muhammad Sakereen Basri, 22, cedera di bahagian belakang dan paha kirinya apabila penutup mangkuk tandas, yang sedang digunakannya, meletup dan pecah dipercayai akibat mercun. - BERNAMA

No comments: