Partime Job

Tuesday, 13 March 2012

Ibu sebak peluk ‘bakal’ menantu

JUMAAT lalu, bertempat di Surau Itihadiah Jalan Melor 19, Taman Melor Ampang, Selangor, majlis tahlil dan bacaan Yasin buat Allahyarham Khairil Izwan Pilus, selamat diadakan.

Lebih 100 rakan rapat Allahyarham hadir termasuk ahli keluarga serta jiran sekitar Taman Melor hadir sama.
Penyanyi Farhan AF yang sudah lama mengenali arwah iaitu sebelum bergelar artis lagi juga sempat datang bersama tunangnya, Rashdan Suhaimi. Bagi rakan artis yang tidak dapat hadir, sempat menyampaikan salam kepada keluarga Allahyarham.

Menurut ibu arwah, Normah Abdullah, majlis tahlil itu diadakan Ampang memandangkan Allahyarham ada ramai teman di Kuala Lumpur.


“Kami sekeluarga pernah menetap di Taman Melor. Namun, selepas pak cik dan mak cik pencen, kami berpindah ke Taman Nyalas Permai, Asahan, Jasin, sejak empat tahun lalu.


“Namun arwah dan adiknya, Ajam (Ajam adalah nama timangan Aril AF) menetap di sebuah kondo di Pandan Mewah yang dibeli arwah lebih kurang tiga tahun lalu.

“Mengenangkan hal itu, mak cik dan pak cik terfikir untuk mengadakan majlis tahlil di Surau Itihadiah Taman Melor bagi memudahkan kawannya datang khususnya bagi yang belum sempat menghadiri tahlil yang diadakan di Melaka dulu.
Alhamdulillah, kami sekeluarga terharu dengan kehadiran ramai tetamu,” katanya.

Majlis yang diadakan sekitar jam 7 malam sehingga selepas solat Isyak itu, bersamaan satu bulan 19 hari pemergian arwah Izwan yang popular dengan lagu Indah Lelapku dan Kembali Senyum itu.

Allahyarham meninggal dunia tepat jam 6.15 petang pada 20 Januari yang lalu di Hospital Ampang, Pandan Mewah, akibat jangkitan bakteria dalam darah atau sepsis.

Meskipun, keluarga dan teman boleh menerima hakikat ketiadaan beliau, sesekali pasti dihimpit perasaan rindu yang mencengkam.

Keadaan menjadi begitu sayu apabila ibu arwah mengalirkan air mata saat memeluk rakan universiti (Universiti Utara Malaysia) bernama Hani. Hani adalah calon menantu keluarga Pilus dan wanita yang ingin dikahwini arwah.

Pada Syawal yang lalu, arwah Izwan ada mengunjungi kampung Hani di Batu Pahat, Johor untuk berbincang berhubung hajat ibunya ingin menghantar cincin tanda.

Mengikut perancangan, arwah terlintas mengahwini Hani tahun depan.
Bagaimanapun, hajat itu tidak kesampaian kerana Allah s.w.t. lebih menyayanginya.

Sebulan lalu, ibu arwah juga sempat berkongsi cerita dengan penulis bahawa dia mimpikan arwah dalam sebuah majlis pertunangan.

“Arwah berdiri di pintu dengan wajah berseri dan tersenyum kemudian menyelak tudung yang menutupi wajah seorang perempuan berpakaian seperti pengantin. Kemudian dia melintasi di depan mak cik dengan wajah tersenyum sebelum berlalu pergi.

“Tidak lama selepas itu, mak cik sekali lagi mimpikan dia. Kali ini, arwah dengan wajah berseri-seri sedang bersiap-siap dan nampak teruja untuk berangkat mengerjakan umrah. Memang tahun ini sekitar Mei kami merancang menunaikan umrah. tetapi tidak sempat,” katanya.

sumber : mymetro

No comments: