SERI ALAM: “Saya harap orang melakukan perbuatan kejam terhadap anak saya mendapat balasan yang sama,” kata Roselyn Alan, 25, ibu kepada mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau lebih dikenali sebagai Dirang.
Roselyn yang masih trauma dan sedih dengan kejadian itu berkata, dia masih terkenang saat akhir arwah erat memeluk dan menciumnya sambil bertanya sama ada ibu sayangkannya sebelum Dirang keluar ke kedai.
Dia mengakui sering teringatkan arwah setiap kali membancuh susu untuk anak bongsunya, Ainul Suhada Abdullah, berusia dua bulan berikutan gelagat mangsa suka membantu.
“Dirang sangat sayang pada adik perempuannnya dengan sentiasa mencium dan memilih pakaian berwarna merah jambu iaitu warna kegemarannya.
“Dirang anak yang tidak cerewet dan sentiasa menceriakan kami, dia bercita-cita untuk menjadi seorang doktor, tapi semua itu kini tinggal kenangan,” katanya. Roselyn berkata, dia tidak faham mengapa suspek sanggup berlaku begitu zalim terhadap anaknya dan berharap orang berkaitan dapat ditangkap dan menerima hukuman agar merasai kesakitan dialami anak perempuannya itu.
Sebagai ibu, dia bagaikan merasai kesakitan amat sangat dialami Dirang yang masih kecil.
“Jika mahu duit kami bukan kaya, malah tidak ada kerja, musuh juga tidak ada. Saya tidak akan maafkan perlakuan kejam orang zalim terbabit terhadap Dirang,” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff di rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam di sini, semalam.
Perasaan terkilan juga menghantui ibu malang berkenaan apabila tidak sempat menunaikan permintaan Dirang membelikannya buku tulis yang menjadi kegemaran kanak-kanak itu.
sumber : mymetro

No comments:
Post a Comment