Partime Job

Friday 9 March 2012

Gara-gara panik, tiga lelaki nekad terjun sungai


KUALA PERLIS – Gara-gara panik, tiga lelaki melompat dari sebuah rumah ke dalam sungai kerana digemparkan mengenai operasi narkotik di Kampung Baru Tandiap, petang kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.10 petang itu bertambah cemas apabila seorang daripada mereka, Mat Yunus Mohamad, 32, gagal naik ke daratan semula.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, pihaknya sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat pada petang kelmarin sehingga semalam setelah mangsa gagal dikesan.

“Ketiga-tiga lelaki terbabit telah digemparkan rakanya yang memaklumkan polis mengadakan operasi narkotik di kawasan berhampiran.

“Mungkin kerana panik, mereka mengambil keputusan untuk terjun sungai tanpa memastikan kesahihan khabar itu sehingga salah seorang daripada mereka tenggelam,” katanya.

Abdul Rahman berkata, Mat Yunus dipercayai gagal ke daratan kerana kakinya pernah dimasukkan besi setelah mengalami kemalangan beberapa tahun lalu.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam bermula jam 7 malam selepas menerima aduan orang kampung dan keluarga Mat Yunus yang membuat laporan mengenai kehilangannya.

“Operasi masih diteruskan sehingga tengah hari ini dan kami percaya Mat Yunus mungkin dibawa arus deras sehingga ke laut,” katanya.

Menurutnya, beliau menolak dakwaan operasi narkotik menyebabkan tiga lelaki berkenaan bertindak terjun sungai, kerana operasi hanya dilakukan dua kilometer dari tempat kejadian.

Sementara itu, saksi kejadian Abidin Othman, 55, berkata, dia melihat ketiga-tiga lelaki terbabit melompat dari rumah yang berada bertentangan dengan rumahnya ke dalam sungai sebelum salah seorang daripada mereka tenggelam timbul.

“Ketiga-tiga mereka ketika itu seolah-olah cuba melarikan diri daripada sesuatu dan terus melompat ke dalam sungai, salah seorang daripada mereka tenggelam timbul dan dua lagi rakannya berjaya naik ke daratan,” katanya.

Abidin berkata, dia kemudiannya menelefon polis untuk memaklumkan kejadian itu di samping memanggil orang yang berada di sekitar kawasan itu untuk menyelamatkannya.

Dalam perkembangan yang sama, bapa mangsa Mohamad Hamzah, 67, berkata, kali terakhir dia berjumpa anaknya selepas Asar sebelum Mat Yunus keluar dari rumah dengan motosikalnya.

“Selepas itu, sehingga ke hari ini saya tidak berjumpanya, saya berharap dia selamat,” katanya.

Difahamkan, mangsa adalah anak keempat daripada lima adik beradik dan kerja sambilan sebagai nelayan serta menetap bersama orang tuanya di Penempatan Sementara Bukit Tok Poh, di sini, yang jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi tempat kejadian.

sumber : sinarharianb

No comments: