Partime Job

There was an error in this gadget

Tuesday, 6 March 2012

Gadai nyawa selamatkan adik


SELISING - Tindakan pantas seorang abang, Mohd Arif Roslan, 11, yang sanggup bergadai nyawa berjaya menyelamatkan adik tirinya, Mohd Anas Mohamed yang berusia sebulan ketika api marak membakar rumah mereka di Taman Desa Atira, Bukit Tanah di sini.

Ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.15 pagi itu, Mohd Arif bersama ibunya, Wan Hanim Wan Suhaimi, 46, bersama Mohd Anas dan Mohd Azam, 17, nyenyak tidur di ruang tamu bahagian tingkat bawah rumah mereka.

Mohd Arif yang merupakan murid darjah lima Sekolah Kebangsaan Kamil Tiga berkata, ketika kejadian itu dia dikejutkan dengan bunyi bising dan badannya terasa panas.

“Bila buka mata, saya lihat api sudah menyala daripada bahagian tingkat atas rumah.

“Pada masa itu, saya tengok ibu dan abang sudah panik serta menyelamatkan dokumen penting, jadi tanpa berlengah saya terus mengambil adik keluar dari rumah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian, di sini semalam.

Mohd Arif berkata, tanpa sempat menyarungkan baju dia terus membawa adiknya itu keluar dari rumah kemudian diikuti ibu dan abangnya.

Sementara itu, Wan Hanim berkata, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada lilin yang dipasang kerana elektrik di rumah yang baru dua minggu didudukinya itu sudah dipotong.

Dia yang merupakan kakitangan Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Jawa Dua, mendakwa elektrik tersebut dipercayai dipotong ketika mereka sekeluarga pulang ke Kuala Lumpur Khamis lalu kerana apabila pulang ke rumah petang kelmarin, elektrik sudah tiada.

“Sebelum ini, pihak berkenaan meminta saya menjelaskan tunggakan berjumlah RM800 kerana tuan rumah sudah meninggal dunia dan saya sudah menjelaskan separuh daripadanya tetapi pihak tersebut meminta pula surat kematian.

“Kami sudah usahakannya tetapi kerana masalah tertentu ia masih lagi dalam proses untuk mendapatkan surat pengesahan kematian tersebut, dan saya tidak menyangka pihak berkenaan sanggup berbuat demikian sebelum bertemu dengan saya terlebih dahulu,” katanya.

Dia yang masih terkejut dengan kejadian tersebut, bersyukur kerana anak-anaknya selamat walaupun bahagian ruangan di tingkat atas rumahnya habis terbakar.

Ketika kejadian tersebut, suami Wan Hanim tiada di rumah kerana berada di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharudin Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam kira-kira 12.25 pagi.

“Kerugian dianggarkan berjumlah RM10,000 kerana ia hanya melibatkan ruangan di bahagian atas rumah sahaja, manakala puncanya kami percayai berpunca daripada lilin yang dipasang oleh keluarga tersebut,” katanya.

Menurutnya, sebanyak dua buah jentera dan enam anggota bergegas ke tempat kejadian kerana ia melibatkan kawasan perumahan.

Kaharudin berkata, kepada orang ramai yang menggunakan lilin, diharap berhati-hati dengan meletakkan ia di tempat yang tidak berisiko.

“Contohnya elakkan letak lilin di atas bekas plastik ataupun di kawasan yang barangnya senang disambar api,” katanya.

Sumber : Sinar harian

No comments: