Partime Job

Tuesday, 27 March 2012

Empat bulan tidak lena tidur


KUALA KRAI - Sebuah keluarga enam beranak di Jalan TNB, dekat sini, tidak dapat tidur lena sejak empat bulan lalu apabila bahagian dapur rumah mereka hampir roboh selepas benteng simen rumah kosong bersebelahan runtuh.

Ketua keluarga itu, juga Penghulu Mukim Batu Lada, Abdul Razak Taib berkata, kehidupannya sekeluarga tidak tenteram selepas kejadian terutama pada waktu malam kerana bahagian belakang rumahnya itu berisiko runtuh pada bila-bila masa.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada hakisan tanah itu menyebabkan bahagian dapur rumah papan didiaminya bersama isteri dan empat anak berusia tiga hingga 19 tahun terbabit rosak teruk.

“Selepas kejadian itu, siang malam kami sekeluarga hidup dalam keadaan tidak selamat kerana keadaan dapur tidak berdinding dan boleh runtuh bila-bila masa,” katanya.

Derita Abdul Razak sekeluarga bagaimanapun bakal berakhir apabila nasib mereka mendapat perhatian seorang Ahli Lembaga Pengarah syarikat Ladang Sungai Terah Sdn Bhd, Zulkifli Ya’cob yang tampil menghulurkan sumbangan.

Abdul Razak berkata, dia bersyukur kepada ALLAH serta berterima kasih kepada Zulkifli yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri Guchil atas sumbangan tersebut.

“Selepas empat bulan menunggu bantuan, saya bersyukur kerana atas keprihatinan beliau (Zulkifli), akhirnya kami sekeluarga akan dapat hidup dengan lebih selesa dan selamat serta boleh kembali tidur nyenyak,” katanya.

Sumbangan berjumlah RM7,000 itu disampaikan Zulkifli kepada Abdul Razak di rumahnya, di sini, semalam, dan turut disaksikan Penghulu Mukim Tualang, Che Abdullah Che Mat.

Sementara itu, Zulkifli berkata, sumbangan untuk keluarga terbabit dihulur sebagai menunaikan tanggungjawab sosial syarikat berkenaan kepada masyarakat terutama dalam membantu golongan memerlukan.

“Selain bantuan seperti ini, syarikat juga menghulurkan pelbagai bantuan lain dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat termasuk sumbangan komputer untuk sekolah dan pelajar cemerlang,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: