Partime Job

Tuesday, 27 March 2012

Dua ‘spiderman’ Myanmar patah kaki


GEORGETOWN - Tindakan kurang bijak dua 'Spiderman' warga asing yang mahu menunjukkan kebolehan melompat dari bangunan tinggi membawa padah apabila cedera parah selepas melakukan aksi terjun dari tingkat tiga sebuah apartmen di Maccallum di sini, malam kelmarin.

Difahamkan, kedua-dua lelaki warga Myanmar itu pada mulanya minum bersama di sebuah gerai sebelum berlaku pertengkaran dan cabar-mencabar sesama mereka bagi menunjukkan kehebatan masing-masing untuk melompat dari tingkat tiga apartmen itu.

Akibat ingin tunjuk aksi berani itu, lelaki berusia 24 tahun patah kaki dan tangan kanan manakala seorang lagi berusia 26 tahun patah kaki kiri serta cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, dua lelaki itu ditemui berlumuran darah dengan beberapa kesan kecederaan oleh beberapa penduduk yang kebetulan melalui kawasan berkenaan kira-kira jam 11.55 malam.

Beliau berkata, menurut beberapa saksi, kedua-duanya dilihat membuat bising dan bercakap kuat antara satu sama lain di tepi tangga di tingkat tiga perumahan berkenaan sebelum kedua-duanya ditemui cedera terbaring di atas jalan.

"Mereka dikatakan menjerit antara satu sama lain sebelum ditemui berlumuran darah di tingkat bawah," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kong Meng berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan tetapi polis tidak menolak kemungkinan mereka bergaduh.

"Polis belum mengklafikasikan kes itu mengikut apa-apa seksyen kerana belum mendapat keterangan daripada kedua-duanya yang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya.

sumber : sinarharian

No comments: