Partime Job

Friday 2 March 2012

Culik Olok-Olok

SERDANG: Satu sindiket dikesan bergiat aktif memperdaya ibu bapa di daerah ini dengan mendakwa menculik ahli keluarga mereka sebelum meminta wang tebusan antara RM10,000 dan RM50,000 jika mahu ahli keluarga mereka dibebaskan.

Setakat ini, sebanyak 10 kes membabitkan kerugian lebih RM57,000 dilaporkan berlaku di daerah ini.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Asisten Superintendan Azami Saufi berkata, daripada 10 kes itu, empat kes direkodkan dengan kerugian sebanyak RM57,000.

Katanya, sindiket terbabit begitu licik apabila memainkan suara kanak-kanak yang sedang merayu meminta dibebaskan ketika menghubungi ibu bapa mangsa bagi meyakinkan anak mereka memang diculik.


“Sindiket meminta wang tebusan segera dalam jumlah sehingga puluhan ribu ringgit dan ia perlu diserahkan di satu kawasan yang ditetapkan.


“Mangsa yang panik akan terus menyerahkan wang kepada sindiket terbabit di kawasan diarahkan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, kes terakhir yang dilaporkan adalah Mac tahun lalu membabitkan kerugian sebanyak RM35,000 apabila mangsa dihubungi seorang lelaki yang memaklumkan anak lelakinya berusia 20-an yang berada di London, diculik.


Bimbang dengan keadaan itu, mangsa yang berusia 50-an terus menyerahkan wang itu di belakang pasar borong di sini kepada sindiket terbabit, tetapi akhirnya mengetahui ditipu selepas dapat menghubungi anaknya yang memaklumkan tiada apa-apa berlaku ke atasnya.

Sumber : Harian Metro

No comments: