KUALA LUMPUR: Kes pembunuhan kejam, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, yang diculik sebelum dibunuh dan dibakar akan diselesaikan segera, sekali gus mereka yang bertanggungjawab melakukan perbuatan keji itu akan dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberi jaminan kes itu akan diselesaikan secepat mungkin dan beliau sendiri memantau perkembangan kes pembunuhan itu.
Menurutnya, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff memaklumkan polis mempunyai bukti yang cukup bagi membolehkan kes diselesai dalam masa terdekat ini.
Bagaimanapun, beliau menolak wujudnya trend baru penjenayah yang menggunakan taktik kejam membakar mangsa bagi melupuskan bukti sejak kebelakangan ini, sebaliknya kejadian menimpa kanak-kanak malang itu disifatkan sebagai kes berasingan.
“Jangan kata banyak atau trend, apa yang berlaku pada Nurul Nadirah adalah kes berasingan. PDRM kesal kerana pembunuhan kejam itu dilakukan terhadap seorang kanak-kanak tidak berdosa serta tidak mengerti apa-apa.
“Apapun, saya bangga kerana pasukan yang terbabit dalam penyiasatan kes ini bertindak cepat sebaik kehilangan Dirang dilaporkan sehingga tertangkapnya empat suspek dan Ketua Polis Johor sudah memaklumkan kes ini boleh diselesaikan,” katanya selepas Majlis Membudayakan Amalan Integriti Dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ismail enggan mengulas apabila ditanya sama ada mangsa turut dirogol sebelum dibunuh dan dibakar kerana siasatan sedang dijalankan dan polis masih menunggu laporan penuh Jabatan Kimia.
Sementara itu, mengenai ugutan diterima ibu mangsa menerusi SMS daripada individu tidak dikenali yang meminta keluarga membayar wang tebusan, beliau memberitahu siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti mereka yang terbabit.
“Bila jadi insiden macam ni...masyarakat bukan saja hanya menyatakan simpati, malah mereka kena bantu...bukan memburukkan lagi keadaan dengan mengambil kesempatan melakukan perkara tidak sihat (ugut) seperti ini.
“Kita akan siasat mengenai ugutan itu dan tengoklah nanti hasil siasatan serta tindakan yang wajar dikenakan kepada pihak tidak bertanggungjawab berkenaan,” katanya.
sumber : mymetro

No comments:
Post a Comment