SERI ALAM: Jenazah kanak-kanak berusia lima tahun yang dibunuh sebelum dibakar, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pertanian Masai di sini, dalam keadaan hujan renyai dan cuaca mendung pada jam 1.20 tengah hari, semalam.
Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan itu selepas bapa kandung Dirang, juga antara empat individu direman bagi membantu siasatan kes terbabit, menyiram air ke pusara anaknya dalam keadaan tangan bergari serta diawasi beberapa anggota polis.
Lelaki berusia 30-an itu hanya berkemeja-T putih, berkain pelikat serta berselipar, terus dibawa pergi polis sejurus pengebumian Dirang selesai.
Ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, neneknya Milnah Jul, 52, datuknya, Alan Alip, 49, bapa tirinya, Lima Medang, 25, keluarga serta lebih 150 yang hadir.
Roselyn menitiskan air mata ketika talkin dibacakan imam kampung berkenaan, Abdul Rahman Ismail, manakala Alan yang sebak terduduk sejurus jenazah cucunya itu dimasukkan ke liang lahad.
Terdahulu, keluarga Dirang menuntut jenazahnya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru kira-kira pada jam 11.45 pagi selepas dimandi dan dikafankan pegawai Majlis Agama Islam Johor (Maij).
Turut hadir di HSA untuk menatap kali terakhir wajah Dirang ialah bapa kandungnya yang tiba dengan memakai baju lokap dan tangan bergari sambil dikawal tiga anggota polis.
Lelaki berkenaan dilihat tiba lebih awal, namun menunggu di dalam kenderaan polis sementara menanti giliran untuk menziarah jenazah anaknya itu.
Roselyn dan Milnah pula meluangkan masa kira-kira 20 minit di Unit Forensik HSA sebelum bapa kandung Dirang dibenar menatap buat kali terakhir jenazah anaknya itu.
Suasana pilu mula terasa apabila Milnah memeluk bekas menantunya itu ketika dia sampai di pintu masuk bangunan berkenaan, manakala Roselyn yang tidak dapat menahan kesedihan terpaksa ditenangkan saudaranya. Bapa kandung Dirang itu terus dibawa masuk ke dalam bangunan berkenaan sebelum keluar kira-kira 10 minit kemudian dalam keadaan sugul dan beredar bersama anggota polis yang mengiringinya.
Jenazah Dirang dibawa ke Masjid Nurhidayah, Jalan Tasek, Bandar Seri Alam, untuk disembahyangkan sebelum dihantar ke tanah perkuburan dengan van jenazah.
Pada 1 Mac lalu, Dirang dilaporkan hilang ketika ke kedai runcit di flat kediamannya untuk membeli mi segera dan telur.
Seminggu kemudian, satu rangka seorang dewasa ditemui dalam keadaan rentung di ladang kelapa sawit di Nusa Damai dan ujian deoxyribonucleic asid (DNA) dijalankan terhadapnya mendapati ia sepadan dengan DNA Roselyn.
sumber : mymetro

No comments:
Post a Comment